Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial - Mahdzir Khalid


Di peringkat prasekolah, PEERS atau nama penuhnya Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial memfokuskan tentang aspek penjagaan kebersihan diri, pencegahan dari penyakit serta penjagaan keselamatan diri.  Fokus ini penting kerana ini merupakan perkara asas yang perlu dipelajari, difahami dan diamalkan oleh kanak-kanak dalam lingkungan umur prasekolah terutamanya aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan diri mereka.

Seiring dengan dasar sedia ada, pendidikan prasekolah merupakan pendidikan formal awal kanak-kanak berumur 4+ hingga 6 tahun sebelum memasuki alam persekolahan sebenar. Menurut data APDM, sehingga 31 Mei 2017, terdapat 200,684 orang murid yang mengikuti pendidikan formal prasekolah di Malaysia. Sejajar dengan itu, pendidikan prasekolah diperkenalkan untuk menyuburkan potensi diri murid dalam semua aspek perkembangan diri, kemahiran asas 3M dan memupuk sikap positif sebelum memasuki tahun satu di sekolah rendah.

Usaha KPM memperkenalkan program PEERS di peringkat prasekolah adalah bersesuaian dengan objektif pendidikan prasekolah.  Pada usia ini, kanak-kanak perlu didedahkan tentang sentuhan yang dibolehkan dan tidak, penyakit yang berbahaya dan juga mengenai kebersihan diri. Kanak-kanak perlu dilatih agar segera memaklumkan kepada guru, ibu bapa atau penjaga sekiranya berlaku sentuhan badan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sejak kebelakangan ini, setiap hari kita sering disajikan dengan berita di media massa berkaitan pelbagai jenayah sosial termasuk jenayah seksual.  Jenayah seksual merupakan antara isu universal yang berlaku di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Yang paling menyedihkan kita adalah kebanyakan mangsa jenayah ini merupakan kanak-kanak yang masih mentah.

Menurut Donald Findlater, Pengarah Pembangunan dan Penyelidikan Lucy Faithfull Foundation (LFF) and Stop it Now, di England saja, dianggarkan 400,000 hingga 450,000 kanak-kanak didera secara seksual antara tempoh 2013 dan 2014.
Di negara kita, Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan lebih daripada 80 peratus kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa. Seiring dengan data Polis DiRaja Malaysia, dalam tahun 2015 dan  2016, sebanyak 2,759 kes rogol, 412 sumbang mahram, 1,423 mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii yang melibatkan mangsa di bawah umur 18 tahun. Ini adalah kes yang dilaporkan dan kita percaya masih banyak kes yang tidak dilaporkan terutama bagi kes-kes yang melibatkan kegiatan sumbang mahram.

Isu kes tidak dilaporkan ini mengesahkan kandungan artikel yang diterbitkan oleh pihak UNICEF bertajuk “Hidden in Plain Sight” pada 2014 berkaitan jenayah seksual di negara-negara Afrika Selatan, yang menyatakan “Most children and family do not report cases of abuse and exploitation because of stigma, fear and lack of trust in authorities. Social tolerance and lack of awareness also contribute to under-reporting”.

Justeru itu, kerajaan telah mengambil beberapa tindakan untuk menangani gejala sosial yang semakin meruncing ini. YAB Perdana Menteri sendiri amat prihatin dengan isu yang berkaitan dengan jenayah seksual kanak-kanak. Pada tahun 2016, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Berkaitan Jenayah Seksual Kanak-kanak dan mencadangkan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.  Mahkamah ini direka khas untuk memberi ketenteraman kepada kanak-kanak mangsa jenayah seksual agar mereka dapat memberi lebih banyak maklumat mengenai kejadian yang menimpa mereka.

Majlis Perasmian Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman, Putrajaya oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak
YAB Perdana Menteri sendiri telah merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak pada 22 Jun 2017 yang lalu dan mahkamah ini adalah satu-satunya yang terdapat di rantau Asia Tenggara.  Selaras dengan penubuhan mahkamah ini, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 juga telah diluluskan dan dikuatkuasakan mulai Julai 2017. Semua usaha ini diambil supaya isu jenayah seksual ditangani secara kolektif dan menyeluruh, di samping untuk meningkatkan kepekaan dan kesedaran masyarakat tentang bahaya dan implikasi gejala jenayah seksual khasnya terhadap kanak-kanak.

KPM juga telah mengatur pelbagai program pendidikan untuk memberi pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan menerapkan nilai murni melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial atau PEERS bermula dari prasekolah.  Idea PEERS Sehari @ Prasekolah merupakan antara langkah untuk menyebarkan maklumat tentang aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan diri kepada murid prasekolah, golongan pendidik, ibu bapa dan komuniti.

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan
PEERS Sehari @ Prasekolah merupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkaitan penjagaan kesihatan dan keselamatan diri yang dilaksanakan dalam sehari iaitu pada hari ini secara serentak di semua kelas prasekolah KPM.  Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga menyertai program PEERS Sehari @ Prasekolah. Malah kita juga mengalu-alukan penyertaan tadika swasta dalam program ini.
PEERS Sehari @ Prasekolah ini diharap membuka mata pendidik khasnya para guru dalam merancang pengajaran dan pembelajaran yang kreatif berkaitan komponen PEERS selaras dengan kandungan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017), di samping membuka minda dan meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang kepentingan komponen PEERS didedahkan kepada anak-anak prasekolah.

Sememangnya pelaksanaan program ini adalah selaras dengan hasrat Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan yang diluluskan oleh Parlimen pada 2009 yang menyatakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial terpakai kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Pihak UNESCO dalam laporannya mencadangkan asas PEERS diperkenalkan kepada kanak-kanak bermula pada peringkat umur tiga hingga lima tahun.

Kita perlu membuka minda dan berfikir secara positif tentang kandungan PEERS yang perlu disampaikan kepada anak-anak bagi menyediakan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk berdepan dengan pelbagai situasi yang berisiko.
Saya juga sedar bahawa untuk melaksanakan PEERS di peringkat  umur prasekolah agak janggal kerana murid prasekolah perlu diperkenalkan dengan istilah sebenar yang digunakan dalam PEERS. John Dewey mengatakan pendidikan adalah satu proses sosial untuk menyampaikan ilmu, pengalaman, teori pemikiran dan maklumat kepada masyarakat muda iaitu kanak-kanak.

Froebel, seorang tokoh pendidikan awal kanak-kanak mengatakan prasekolah seolah-olah menjadi tapak semaian bagi latihan kemasyarakatan seperti nilai bekerjasama, menggunakan daya usaha sendiri, bersikap membina, hormat-menghormati, kebiasaan kebersihan dan menggalakkan kesihatan yang baik dan teratur. Sebab itulah kita perlu menerangkan perkara sebenar kepada murid bermula dari prasekolah kerana tujuan murni kita adalah untuk mendidik mereka menghadapi cabaran dunia sebenar.

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan membolehkan murid memahami isi pelajaran, meningkatkan kemahiran diri dan mengamalkan nilai murni. Murid-murid seperti ini akhirnya boleh menjadi model kepada rakan sebaya dan mampu memberi sumbangan kepada keluarga, sekolah, masyarakat dan negara.
Saya mengambil kesempatan untuk memberi penekanan tentang kepentingan PEERS pada peringkat awal pendidikan formal khususnya murid prasekolah. Murid prasekolah perlu diberi pengetahuan dan kemahiran berkaitan PEERS supaya mereka bersedia menjaga diri sendiri, mengenal pasti aspek sentuhan selamat, tidak selamat dan tidak selesa serta boleh mengambil tindakan yang sesuai apabila berhadapan dengan situasi yang berisiko, ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Saya yakin program PEERS Sehari @ Prasekolah akan memberi kesan positif kepada pelaksanaan PEERS dalam kalangan murid prasekolah. Saya berharap pelancaran program ini menjadi titik tolak untuk komponen penting tersebut diberi penekanan dan dilaksanakan dengan lebih berkesan oleh guru-guru prasekolah.

Saya amat berharap agar menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat berganding bahu bagi memperkasakan PEERS agar kita dapat melahirkan generasi berakhlak mulia, mampu membuat keputusan dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan. Marilah bersama-sama memberi perhatian, kasih sayang dan bertanggungjawab dalam pendidikan anak-anak kita supaya mereka dapat mencorakkan masa depan yang lebih cemerlang dan bermakna sepanjang kehidupan mereka.

Oleh: Mahdzir Khalid / Kedahnews.com