ALOR SETAR - Sekumpulan penduduk mengadakan bantahan aman menolak sambungan jalan Taman Sri Bagan, Tandop, di sini, dengan taman perumahan baharu.
Pengerusi Badan Kebajikan Taman Sri Bagan, Rusli Ahmad berkata, penduduk bimbang apabila dimaklumkan pemaju bercadang menggunakan laluan taman perumahan itu sebagai jalan keluar masuk taman baharu tersebut.
“Jadi, kami tidak bersetuju kerana kelulusan sambungan jalan dua taman perumahan akan menjejaskan kehidupan lebih 190 keluarga yang mendiami kawasan ini sejak 30 tahun lepas.
“Bagi kami, kelulusan laluan itu sebagai sambungan jalan akan memberikan ketidakselesaan dan juga kesulitan kepada penduduk,” katanya.
Katanya, penduduk setempat yang tinggal sekitar laluan meneruskan kehidupan dengan selesa dan melakukan aktiviti harian tanpa kerisauan.
“Selama ini, penduduk boleh pasang khemah di laluan itu apabila berlaku majlis, kenduri kendara atau kematian.
"Namun, apabila sambungan laluan diluluskan, penduduk mungkin tidak lagi boleh berbuat sedemikian,” katanya.
Menurut pembantu tadika, Shahida Said, 48, dia bimbang keselamatan penduduk taman perumahan itu terutamanya kanak-kanak terancam dengan jumlah kenderaan yang banyak.
Katanya, bilangan kenderaan menggunakan laluan akan bertambah dan jalan menjadi sesak apabila penduduk taman perumahan baharu kian ramai.
Lebih membimbangkan, katanya, ada kenderaan berat seperti lori besar menggunakan laluan Taman Sri Bagan untuk ke taman perumahan baru.
“Bayangkan, ramai orang menggunakan jalan ini terutamanya kanak-kanak untuk melintas ke tadika.
"Jika, jalan makin sesak dan kenderaan bertambah, ia sudah tidak selamat untuk mereka,” katanya.
Manakala, Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS), Shuib Ismail berkata, penduduk ada mengemukakan bantahan melalui dua memorandum pada 4 Mei dan 5 Oktober 2017 agar isu itu diberi perhatian.
Bagaimanapun, katanya, penduduk tertanya-tanya sama cadangan itu diluluskan ataupun tidak disebabkan tiada jawapan diterima setakat ini.
“Masalah timbul apabila taman perumahan baharu tidak memiliki laluan sendiri sehingga menggunakan laluan Taman Sri Bagan.
"Akhirnya, kami yang rasa tidak selamat dan selesa,” katanya.
Shuib berkata, penduduk Taman Sri Bagan tidak menghalang sebarang pembangunan, bagaimanapun biarlah projek dilaksanakan tidak memberi kesan negatif kepada orang lain.
Untuk itu, katanya, penduduk merayu kepada mana-mana pihak berkaitan supaya menutup terus laluan sambungan menghubungkan dua taman perumahan berkenaan.
Katanya, pihaknya turut mencadangkan supaya pemaju terlibat membina jalan sendiri di taman perumahan baharu untuk kesejahteraan penduduk setempat.
Sumber:Sinar Online