Penduduk Kota Kuala Muda Bakal Dapat Manfaat Dari 740 Rumah PPR


ALOR SETAR – Penduduk di kawasan Kota Kuala Muda dijangka bakal memperoleh manfaat daripada 740 unit rumah teres di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibina di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat, rumah itu akan dibina di kawasan seluas kira-kira 27 hektar berhampiran Taman Permatang Katong.

“Kerajaan Negeri di bawah UPEN (Unit Perancangan Ekonomi Negeri) telah bermesyuarat mengenai cadangan ini dan memberi sokongan penuh.

“Lokasi yang dicadangkan strategik kerana permintaan rumah PPR di sini semakin meningkat. Tapak yang dicadangkan pula adalah tanah milik Kerajaan Negeri, justeru itu, urusan pembinaan akan lebih lancar,” katanya 

Beliau berkata selepas menghadiri majlis Kesyukuran Tsunami & Ceramah Maulidur Rasul di perkarangan Surau Al Abrar, Taman Permatang Katong, Mukim Kuala/Haji Kudong, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Muda Nordin Yahya, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah Norizan Khazali dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka Datuk Ali Yahya.

Tambahnya, projek kerajaan Pusat itu dijangka baka dilaksanakan bermula tahun hadapan.

Kos pembinaan kesemua rumah teres setingkat berkeluasan 850 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dijangka menelan kos lebih RM100 juta dan kemudahan lain seperti surau, tabika dan taman permainan juga akan disediakan di situ.

“Kos pembinaan bagi satu unit rumah ialah RM150,000 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Selepas pembinaannya bermula, mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah layak memohon,” katanya. - Kedahnews.com