WALAUPUN jumlah penganggur di negara kita telah mencecah 600,000 orang, namun majoritinya masih tidak berminat menceburi bidang-bidang kerja berat seperti yang dilakukan pekerja warga asing.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, antara bidang kerja yang kerap dilakukan warga pekerja asing ialah sektor pembinaan.
"Dalam sektor pembinaan, ia adalah salah satu bidang kerja yang menjadi pilihan utama warga pekerja asing. Namun ia tidak diminati oleh warga tempatan.
"Masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan pembayaran gaji yang tinggi. Bagi setiap pekerja binaan, gaji yang diterima mereka ialah antara RM1,500 dan RM2,000. Malangnya, ia tetap tidak mampu menarik rakyat tempatan untuk menceburinya," kata Shamsuddin ketika memberitahu Oriental Daily.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya melakukan langkah dengan menarik lebih ramai warga tempatan menceburi bidang pembinaan agar tidak terlalu bergantung kepada tenaga pekerja warga asing.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Tekstil Malaysia (MTMA), Datuk Seri Tan Thian Poh pula berkata, buat masa ini, jumlah warga tempatan masih gagal menampung pekerjaan yang dilakukan warga pekerja asing.
"Jumlah pekerja asing yang masuki ke negara kita secara sah ialah lebih kurang 1.8 orang. Sekiranya ditambahkan pekerja asing tanpa izin, jumlah ini mungkin mencecah sehingga empat juta orang.
"Sebaliknya, jumlah penganggur di negara kita hanyalah 600,000 orang. Ia sudah tentu tidak dapat mengisi kekosongan kerja-kerja ini sekiranya ditinggalkan oleh warga pekerja asing yang begitu ramai," katanya.
Menurut Thian Poh, masalah ini tidak ada kena mengena dengan kos, tetapi ia berkaitan dengan jumlah penduduk di negara kita yang agak kecil.
"Sejak 30 tahun yang lalu, negara kita telahpun bergantung kepada ramai tenaga pekerja asing untuk membangunkan ekonomi kita," jelasnya.
Sumber: Sinar Online