''Pengguguran Angkat Berat Amat Menyedihkan''


KUALA LUMPUR – Pengguguran sukan angkat berat daripada program Majlis Sukan Malaysia (MSN) petanda kegagalan dalam kepimpinan tertinggi Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Itu tegas bekas presiden PABM, Datuk Zafarul Akhbar Kassim yang mengakui berita pengguguran sukan tersebut sesuatu yang menyedihkan.

Kata Zafarul, dalam isu ini pihak MSN tidak boleh dipersalahkan kerana percaya bantuan telah banyak diberikan kepada pihak PABM bagi memperbaiki pencapaian mereka namun malangnya peluang tersebut tidak dimanfaatkan dengan baik.

“Pihak MSN tidak akan menggugurkan sesuatu sukan itu tanpa sebarang alasan yang kukuh dan dalam hal ini badan induk itu sendiri harus akur dengan kelemahan mereka dalam merancang program pembangunan.

“Angkat berat adalah antara sukan yang berpotensi meraih kecemerlangan tetapi sayang ia tidak diuruskan dengan begitu baik sehingga akhirnya dikeluarkan daripada program MSN,” kata Zafarul.

Pada Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan teras negara berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Keputusan tersebut dibuat selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) membuat semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut sejak 2007.

Sumber: Utusan Online