KUALA LUMPUR – Ramai yang terlopong kehairanan tidak kurang juga bimbang dengan jenayah skim ‘cepat kaya’ atau penipuan pelaburan wang yang telah mencecah kerugian hampir RM5.8 bilion dalam tempoh kurang daripada dua tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh kelmarin mendedahkan hampir sejuta rakyat negara ini yang menjadi mangsa kepada berpuluh-puluh syarikat pelaburan yang kini sudah didakwa pihak berkusa.
Malah ada yang sudah dijatuhkan hukuman dan juga yang kini di bawah pengawasan.
Peliknya, skim cepat kaya ini bukan baharu di negara ini, sebaliknya sudah lama menghantui kita iaitu lebih 30 tahun lepas.
Ketika itu antara nama popular adalah seperti skim Pak Man Telo, Labu Peram, Tingcon Credit Developement, Permata Bakti dan banyak lagi sejak tahun 80-an lagi.
Skim cepat kaya yang biasanya beroperasi secara haram menerima wang deposit daripada orang ramai (pelabur) dengan menjanjikan pulangan yang besar dalam tempoh singkat.
Persoalannya, mengapa sehingga kini kita bukan sahaja tidak dapat menangani isu ini, malah jumlah kerugian semakin meningkat dengan drastik sehingga mencecah sehingga berbilion ringgit?
Adakah masyarakat sahaja akan dipersalahkan kerana mempunyai sikap tamak dan mahu menjana pendapatan atas angin dengan cara paling mudah dan cepat menjadi punca mengapa skim cepat kaya ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Menurut Presiden Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak, penguatkuasaan yang ‘lemah’ terhadap undang-undang sedia ada sebenarnya punca utama mengapa dalang-dalang dalam syarikat pelaburan ini naik ‘tocang’ dan berterusan bermaharajalela.
Jelasnya, undang-undang sedia ada perlu diperketatkan dengan hukuman jauh lebih berat dan penguatkuasaan yang berterusan serta serius antara jalan untuk menghentikan jenayah ini daripada terus meningkat.
“Sebenarnya, undang-undang kita tiada masalah sekiranya penguatkuasaan dari semua agensi kerajaan dilakukan secara serius dan betul.
“Hakikatnya sehingga kini, rata-rata agensi kerajaan tidak dapat bekerjasama antara satu sama lain dan hanya menuding jari kepada satu pihak sahaja. Bagaimana caranya untuk melaksanakan undang-undang ketat sekiranya tiada pelaksanaan dari pihak berwajib dengan betul?
“Apabila polis menerima laporan dan mencari bukti kukuh untuk mendakwa, pihak pendakwa tidak pula mendakwa. Kadangkala laporan dibuat namun tindakan pula lambat di ambil. Kita banyak pakar undang-undang namun ada juga agensi kerajaan yang ‘lepas tangan’. Sepatutnya kita berpadu tenaga dan sama-sama bekerjasama antara satu sama lain daripada menuding jari.
“Tidak cukup dengan itu, hukuman lebih berat dan menggerunkan perlu diperkenalkan kepada penyangak-penyagak ini. Pada mereka, membayar denda walaupun berpuluh ribu dan terlepas daripada jenayah itu adalah perkara biasa serta tidak menghairankan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika di hubungi hari ini.
Halim yang juga merupakan bekas Veteran Komando 69 berkata, kerajaan juga perlu memperketatkan undang-undang bagi membuka syarikat jualan langsung selain menghadkan penubuhannya kerana rata-rata jenayah skim cepat kaya dilakukan melalui syarikat seperti itu.
Kata beliau, pihak berwajib juga boleh membuka sebuah laman sesawang baharu yang membolehkan mangsa membuat laporan dengan segera selain membuat aduan terhadap mana-mana syarikat pelaburan yang disyaki melakukan pelaburan haram.
“Masih ramai lagi yang berani menjalankan aktiviti skim cepat kaya walaupun pernah didakwa kerana merasakan diri mereka sebenarnya sangat ‘kebal’ walhal kerajaan pada hakikatnya bertungkus lumus membanteras skim ini sejak dulu lagi.
“Tindakan segera selepas aduan itu dibuat juga perlu dilakukan tanpa mengira ‘bulu’. Bayar denda ini mereka tidak hairan sangat, mungkin lepas ini mana-mana yang terlibat boleh didakwa melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA). AMLA mempunyai kuasa membekukan akuan mereka sekiranya terlibat dengan perkara seumpama ini,” tegasnya.
Tambah beliau, agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam perundangan dan mampu membanteras berhabis-habisan skim cepat kaya ini adalah seperti Bank Negara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kejaraan Tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan.
“Seandainya semua berpadu tenaga dan mengabil tindakan tegas serta ketat, maka kita akan dapat melihat pengurangan drastik dalam jenayah pelaburan wang skim cepat kaya.
“Dalam masa sama, orang ramai perlu mempunyai kesedaran sivik yang tinggi, jangan cuba ‘buat’ duit dengan cara yang singkat yang mudah. Jangan jadi terlampau tamak sehingga merugikan diri anda dan mendatangkan musibah kepada negara pada kemudian hari.
“Kenapa masih lagi wujud judi haram, nombor ekor? Kerana itu, syarikat jualan langsung atau memperkenalkan produk baru untuk mendapatkan wang lebih, contohnya, labur RM1,000 anda layak mendapat RM5,000 dalam tempoh sebulan. Semua ini menyebabkan mereka menjadi tamak dan sukar di kawal,” katanya.
Sumber – MalaysiaGazette