Pengurusan KFA, Pemain Dan Penyokong Perlu Bersatu Lakar Kejayaan


ALOR SETAR - Presiden Persatuan Bola Sepak negeri Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah memutuskan Ramon Marcote Pequeno, 40, sebagai jurulatih Kedah untuk musim akan datang.

Di dalam kenyataannya pagi tadi, Ahmad Bashah turut mengucapkan terima kasih kepada penaja penuh musim hadapan pasukan Kedah iaitu Pengarah ECK Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew yang turut membantu dalam membawa pulang Marcote ke Alor Setar.

Tambah Menteri Besar Kedah, beliau berharap musim 2018 dapat melakar kejayaan buat skuad Helang Merah serta meninggalkan tahun 2017 dengan kenangan manis dan pahit serta bersatu demi memburu kejayaan.

"Diharapkan 2018 menjadi tahun yang dapat membawa perubahan bagi pasukan Kedah dan pengurusan KFA,'' ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan peranan penyokong juga amat penting dalam memberikan semangat baharu kepada pasukan Kedah dan berharap ia dikekalkan.

''Persediaan dan juga komitmen daripada semua pihak pengurusan, pemain dan penyokong adalah kunci kepada kejayaan skuad Hijau Kuning selama ini" katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini.


Pada bulan lalu, penaja utama Kedah musim 2018, ECK mengambil langkah mendapatkan maklum balas dan mendengar kehendak penyokong mengenai pemilihan jurulatih baharu.

Status yang dimuat naik Puan Seri Ginney Chew di Facebook itu mendapat maklum balas yang positif  dari peminat bola sepak Kedah dan seterusnya beliau telah memanjangkan perkara tersebut dengan berbincang lebih lanjut bersama KFA mengenai hasrat tersebut.

Marcote yang berasal dari La Coruna, Sepanyol telah dilantik sebagai jurulatih menggantikan pengendali pasukan itu sebelum ini, Muhammad Nidzam Adzha Yusof yang kembali memegang jawatan sebagai penolong jurulatih Kedah untuk musim akan datang.

Perlantikan Marcote diputuskan selepas pihak pengurusan mempertimbangkan beberapa nama jurulatih untuk mengemudi skuad dengan jolokan 'Helang Merah' bagi musim 2018. -Kedahnews.com