ALOR SETAR - Seorang penjual ikan di Sungai Petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, awal bulan ini.
Muhammad Amirul Khairol, 19 hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Farid Abd Latif dan tiada pengakuan direkodkan daripada .
Tertuduh didakwa membunuh Liu Chee Wei, 25, di Taman Arked dekat sini pada jam 2.30 hingga 3.30 petang, 4 Dis lalu.
Amirul didakwa menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan hasil ujian kimia. - Kedahnews.com