Pertandingan Video Pendek #Muhibah Bermula Di Kedah


ALOR SETAR - Utusan Malaysia telah memulakan langkah pertama dalam pertandingan video pendek bertemakan muhibah (#muhibah) untuk pelajar sekolah menengah di seluruh negara bermula di negeri Kedah, semalam.

Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, program tersebut bertujuan mendedahkan maklumat lebih terperinci kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi dalam usaha menarik minat sekolah-sekolah di bawah pengurusan pihak tersebut.

“Pertandingan tersebut bermatlamat memupuk ukhwah dan perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum selain memartabatkan serta meningkatkan penggunaan bahasa Malaysia.

“Ia terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah seluruh negara dan akan berlangsung selama setahun dengan keseluruhan hadiah berjumlah RM48,000.00,” katanya ketika ditemui selepas program #muhibah di sini semalam.

Yang turut hadir ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN, Rozaini Ahmad.

Wahid berkata, bagi pertandingan tersebut empat kategori akan dipilih setiap bulan berdasarkan empat kaum terbesar iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah serta Sarawak yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000. 

Beliau memberitahu, bagi mereput hadiah yang ditawarkan, peserta perlu menghasilkan video pendek bertemakan muhibah tidak lebih dua minit berserta dengan penerangan lengkap video tersebut dalam 50 hingga 100 patah perkataan.

“Pertandingan tersebut diharap dapat menerapkan semangat keharmonian melalui intipati atau konsep cerita yang akan diterjemahkan oleh pelajar di dalam video pendek itu.

“Ia juga sejajar dengan maksud ‘muhibah’ itu sendiri yang membawa maksud persahabatan dan kemesraan,” katanya. - Kedahnews.com