Peserta Ratu Cantik Cipta Rekod Tunggangan Jet Ski Di Langkawi


ALOR SETAR – Setelah gagal mencipta rekod dengan beraksi di pentas peragaan tertinggi di Pulau Langkawi baru-baru ini, 50 peserta peringkat akhir Miss Tourism International 2017 telah berjaya mencipta satu rekod lain yang tidak kurang hebatnya.

Sebelum ini, mereka tidak berjaya mencipta rekod di puncak Gunung Machinchang, gunung kedua tertinggi di Langkawi, namun mereka mencipta rekod di paras laut dengan berganding bahu melakar jumlah negara paling banyak menyertai aktiviti menunggang jet ski.

Pencapaian yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) itu dilakar di Naam Paradise 101, pulau buatan manusia yang dikendalikan Naam Group, sebuah kumpulan syarikat liburan dan sukan air premier.

Bersempena kejayaan itu, pengurus MBR Lee Pooi Leng menyampaikan sijil khas kepada pengerusi Naam Group Datuk Dr Ravi Ponniah.

Menurut satu kenyataan dari Naam, Ponniah berkata pencapaian tersebut menjadi kebanggaan syarikat berkenaan dan diperoleh hasil dedikasi warganya.

Tambahnya, acara yang mencipta rekod itu adalah antara aktiviti anjuran Naam semasa lawatan para peserta pertandingan tersebut ke Paradise 101, selain memberi peluang kepada mereka untuk menikmati produk pelancongan terdapat di Langkawi.

Malah, langkah menjadi tuan rumah bagi jelitawan dari 50 negara itu akan turut membantu mempromosi Langkawi sebagai destinasi pelancongan, kata Ponniah. – Kedahnews.com