Petronas Carigali Kena Denda RM50,000


KEMAMAN - Petronas Carigali Sdn Bhd didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah kerana gagal mengadakan sistem kerja selamat.

Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy juga mengarahkan syarikat berkenaan membayar kos pendakwaan berjumlah RM5,000.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dalam pertuduhan itu, syarikat itu didapati melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen-elemen pertuduhan dan dengan yang demikian suatu kes 'prima facie' berjaya diwujudkan untuk kes ini.

Ia berdasarkan satu siasatan yang dijalankan sepasukan pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu yang diketuai Pegawai Penyiasat Ir Lim Yee Tat susulan satu kes kemalangan maut di Petronas Carigali Sdn Bhd Onshore Gas Terminal, Kerteh, Kemaman, Terengganu pada 13 Mac 2014.

Hasil siasatan mendapati syarikat Petronas Carigali Sdn Bhd sebagai pemunya dan penghuni di Onshore Gas Terminal, Kerteh, Kemaman, Terengganu gagal untuk memastikan kewajipannya, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerjanya iaitu Md Noor Yusof.

"Syarikat berkenaan juga gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja "remove and install grating" di platform itu sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Md Noor," menurut kenyataan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Terengganu, Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad.

Petronas Carigali Sdn Bhd diwakili K Ragunath.- BERNAMA