KUALA LUMPUR - Saingan Piala Malaysia akan kembali diasingkan apabila dilangsungkan di luar pertandingan liga pada musim 2018 selepas dua musim berlangsung seiring dengan perjalanan liga.
Berdasarkan kenyataan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Piala Malaysia akan berlangsung dengan aksi peringkat kumpulan bermula 3 Ogos dan perlawanan akhir dijadual pada 3 November.
Sebaliknya, saingan pusingan pertama Liga Super pula akan bermula dari 3 Februari hingga 5 Mei dan pusingan kedua pula dari 12 Mei hingga 28 Julai sementara saingan Liga Perdana membuka tirainya pada 3 Februari hingga 4 Mei dan pusingan kedua pada 11 Mei hingga 27 Julai depan.
Ia sekali gus menyaksikan format baru yang digunakan pada musim 2016 dan 2017 tidak lagi diterapkan dan kelayakan semua pasukan ke saingan Piala Malaysia akan ditentukan menerusi kedudukan pasukan pada penamat saingan Liga Super serta Liga Perdana.
Berdasarkan format musim 2016 dan 2017, kelayakan 16 pasukan ditentukan menerusi kedudukan 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Perdana selepas tamat pusingan pertama.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam mengesahkan meskipun berlaku perubahan dalam penyusunan pertandingan musim depan namun setiap pasukan tetap akan beraksi hingga saingan Liga Malaysia (Liga M) berakhir.
“Selaku badan pengendali liga, FMLLP sudah memiliki pelan tersendiri bagi memastikan semua pasukan tetap aktif hingga hujung musim walaupun saingan Piala Malaysia tidak lagi berjalan seiring dengan aksi liga,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada masa sama, FMLLP turut mengumumkan tarikh bagi dua lagi perlawanan yang mempertandingkan piala bagi saingan Liga M musim depan.
Bagi aksi Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah yang menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan juara Piala FA, Kedah, perlawanan akan berlangsung pada 3 Februari yang mana turut menjadi aksi pembukaan buat saingan Liga Super.
Seperti kelaziman, aksi final Piala FA akan menjadi perlawanan akhir pertama musim apabila ia akan berlangsung pada 7 Julai dengan pusingan kelayakan akan bermula pada 13 Februari.
Sumber: MyMetro