PARIT – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bekerjasama selain tidak meletakkan bebanan membendung keciciran dalam kalangan pelajar sekolah di bahu pihak berwajib semata-mata.
Anggota Dewan Negara Senator Khairul Azwan Harun berkata isu keciciran pelajar merupakan antara isu bersama yang sering kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
“Jangan serah pada pihak pengurusan sekolah semata-mata. Jika ada laporan pelajar tidak hadir dalam tempoh masa yang lama ke sekolah kita perlu siasat.
“Masalah keciciran ini jika tidak diatasi dan dibiarkan berterusan kemungkinan makin ramai pelajar akan tercicir daripada arus pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival ‘Back to School’, di Dewan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di sini, semalam.
Dalam program tersebut, seramai 500 pelajar yang terdiri daripada golongan kurang bernasib baik menerima sumbangan baucar, beg sekolah dan alat tulis bernilai RM80 seorang.
Khairul Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata keciciran melibatkan pelajar sekolah dibimbangi akan menyebabkan mereka ketinggalan dan langsung tidak memahami kehendak serta kepentingan yang terdapat dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Negara kini sedang menuju ke gagasan Transformasi Nasional (TN50) ditambah pula cabaran ekonomi yang kian mencabar dan kerjaya tidak menentu serta revolusi perindustrian 4.0, jika mereka tercicir pastinya masa depan mereka tidak menentu,” katanya.
Mengulas mengenai program hari ini, Khairul Azwan berkata ia bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
Selain sumbangan, karnival itu turut diserikan dengan program motivasi dan pemeriksaan kesihatan secara percuma, katanya. – BERNAMA