Pihak Berwajib Perlu Pantau Pusat Jagaan Orang Tua


KOTA BHARU – Pusat jagaan orang tua perlu berdaftar bagi memastikan aspek keselamatannya terjamin, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata setakat ini JBPM tidak mempunyai maklumat berhubung jumlah pusat jagaan orang tua di negara ini dan berharap pihak berwajib menjalankan pemantauan ke atas pusat jagaan terbabit.

“Sekiranya ada antara pusat jagaan ini tidak berdaftar, pihak yang menguruskannya perlu dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah Projek Membina Semula Rumah Terbakar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Ke-7 di Kampung Chetok, Kedai Piah, Ketereh di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Wan Mohd Nor berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes kebakaran pusat jagaan orang tua di Kajang, Selangor yang mengorbankan lima penghuninya termasuk seorang yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) baru-baru ini.

Wan Mohd Nor berkata rumah penjagaan orang tua memerlukan reka bentuk yang berlainan dengan rumah kediaman biasa kerana ia menempatkan golongan tua yang sudah uzur dan ada yang sudah tidak boleh berjalan.

“Sekiranya berlaku kebakaran perlu ada tindak balas cepat, oleh itu ia perlu diberi penekanan pada aspek pengesanan kebakaran awal dan kita tidak mahu penghuni hanya sedar apabila api sudah mulai besar,” katanya dan menurutnya terdapat garis panduan bagi pengurusan rumah jagaan orang tua.

Sementara itu, Wan Mohd Nor berkata JBPM membantu membina sebanyak 40 buah rumah baharu setiap tahun dengan kos RM40,000 setiap unit.

Katanya di Kelantan setakat ini sebanyak empat buah rumah baharu sudah diserahkan kepada pemiliknya manakala lapan buah dibaik pulih.

Seorang penerima rumah berkenaan, Mohd Sofi Ibrahin, 52, dari Kampung Chetok di sini, amat bersyukur menerima rumah baharu selepas kediamannya hangus terbakar pada Disember tahun lepas.

Katanya hari ini genap setahun rumahnya terbakar dan dalam tempoh tersebut dia terpaksa menyewa sebuah rumah dengan kadar RM600 sebulan di Kampung Tunjong.

“Dengan adanya rumah baharu ini ianya sudah tentu akan meringankan beban saya dan kami sekeluarga amat berterima kasih dengan JBPM serta kerajaan Persekutuan yang membinanya menerusi Program NBOS,” katanya yang mempunyai sembilan orang anak. — Bernama