SELAIN mengumumkan calon Perdana Menteri, Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang bakal berlangsung Januari depan juga dijangka memaklumkan manifesto dan kawasan Parlimen yang bakal ditandingi oleh parti gabungan pembangkang itu.
Baru-baru ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan nama calon Perdana Menteri akan diumumkan bulan Januari depan.
Namun sehingga hari ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih 'mengunci mulut' mengenai siapa yang wajar diangkat sebagai Perdana Menteri jika PH mengambil alih Putajaya andainya menang PRU14.
PKR merupakan satu-satunya parti di dalam PH yang sehingga kini belum memberikan kata putus tentang calon perdana menteri dan timbalannya. Semasa Kongres Nasional PKR yang lepas, mereka mahu Anwar diangkat sebagai PM Ke-7.
Parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah juga menafikan khabar angin kononnya ia merancang menentang keputusan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, sebagaimana dilaporkan The Malaysian Insight berkata partinya bukan sengaja menangguhkan persetujuan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, sebaliknya keutamaan pembangkang pada ketika ini ada menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 terlebih dahulu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, isu Perdana Menteri tersebut masih dibincang secara tertutup oleh pemimpin-pemimpin empat parti gabungan pembangkang itu.
Izzah juga menambah bahawa dirinya 'optimisik dengan apa sahaja keputusan'.
“Setakat yang saya tahu, kami masih tak sahkan apa-apa cadangan (calon perdana menteri) sudah dibuat,” katanya.
Sebelum ini nama Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri gabungan pembangkang itu selepas ia mengadakan permukiman di Putrajaya.
“Sementara itu Izzah juga memaklumkan PH pada masa kini sedang memuktamadkan senarai pembahagian kerusi bagi PKR-DAP-Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Parti yang 'bersetuju' dengan calon Perdana Menteri ialah PPBM, sementara Penasihat DAP Lim Kit Siang menyatakan tidak memikirkan tentang jawatan itu walaupun ada sumber yang menyebut beliau juga 'berminat' dengan jawatan berkenaan. - Kedahnews.com.