KUALA LUMPUR - Polis masih memburu seorang lelaki yang melarikan diri selepas didakwa mencabul penuntut politeknik di stesen LRT Masjid Jamek, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam Khamis lalu, mangsa berusia 20 tahun mendakwa disentuh di bahagian kemaluan oleh seorang lelaki ketika berada di eskalator LRT Masjid Jamek menghala Gombak.
Katanya, suspek melarikan diri selepas itu tetapi, mangsa sempat merakam gambarnya.
"Mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 10.20 malam pada hari kejadian.
"Usaha mengesan suspek masih dilakukan. Kita sudah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak Prasarana dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, RapidKL menerusi Twitter, @MyRapidKL pada Jumaat lalu, memaklumkan kes itu sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, RapidKL memandang serius sebarang bentuk perbuatan jenayah dan menasihati kepada kepada semua penggunanya supaya segera membuat laporan kepada mereka sekiranya berlaku kes seumpamanya supaya tindakan boleh diambil.
Sumber: Berita Harian
