Polis Kedah Mohon Anggota Tambahan Untuk PRU-14


ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah menyatakan hasrat bagi memohon 500 anggota tambahan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai membantu pegawai dan anggota sedia ada di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, pihaknya pada masa sama juga akan menggunakan khidmat 370 anggota sukarelawan polis pada hari mengundi.

"Kita perlukan minimum kurang dari 500 anggota tambahan daripada Bukit Aman tetapi jika tidak dapat, kita boleh uruskan.

"Selain itu, kita juga akan mendapat bantuan daripada 370 anggota sukarelawan polis pada hari mengundi. Yang mana mereka akan mengambilalih kerja-kerja tidak kritikal anggota polis," katanya selepas latihan Ex-Undi PRU-14, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Asri memberitahu, pihaknya berpuasa hati dengan kelima-lima fasa latihan membabitkan 432 anggota sejak 9 November lalu.

"Latihan ini memberi peluang kepada kita untuk mengenal pasti kelemahan ketika berdepan situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pada hari ini, kita dapat mengenalpasti masalah berkaitan rangkaian  komunikasi dan sistem 'online'... selepas ini, kita akan membuat 'post mortem' untuk mengatasi kelemahan tersebut," ujarnya.- Kedahnews.com