Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) seharusnya dilakukan sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang berhak menerima layanan dan peluang lebih baik.
“Projek ECRL ini yang diunjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebenarnya adalah sebagai pengubah ekonomi yang sudah terlewat.
“Ia akan menyediakan satu jalinan penghubung antara pelabuhan pantai timur dan barat serta menyediakan rangkaian keretapi selamat bagi mengangkut berjuta penumpang.
“Projek ini akan menjana ekonomi negeri pantai timur secara signifikan pada masa akan datang,” katanya dalam satyu kenyataan hari ini.
Malangnya, Tun Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun lebih cenderung untuk melaksanakan projek-projek mega berbanding untuk membina rangkaian landasan bagi melonjak ekonomi rakyat di pantai timur.
Kata Abdul Rahman, jika kerajaan pada hari ini menangguhkan projek ini sekali lagi sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Mahathir, kosnya pasti akan menjadi lebih tinggi.
"Rakyat pantai timur seharusnya menerima kemudahan ini sudah lama lagi dan jika ia tidak dilaksana sekarang, kosnya akan terus meningkat, " katanya.
Pada masa projek ECRL ini akan bermula, ia tidak sepatutnya dilengahkan atau lebih teruk lagi, dipolitikkan, kata beliau lagi.
“Saya yakin Tun Daim Zainuddin sebagai bekas Menteri Kewangan berpengalaman di bawah pentadbiran Mahathir Mohamad akan faham mengapa kerajaan hari ini memilih untuk menstrukturkan ECRL sebagai pelaburan domestik dengan pembiayaan asing,” katanya.
Projek ini adalah pelaburan domestik dibiayai pinjaman mudah dari China dengan kadar faedah lebih memihak kepada Malaysia, yang lebih rendah dari kos dibiayai kerajaan.
“Kita belajar daripada kesilapan lalu di mana kerajaan pimpinan Dr Mahathir dan Tun Daim telah meminjam dengan banyak dari Jepun dan terpaksa membayar berganda apabila nilai Yen meningkat tinggi berbanding Ringgit manakala kerajaan hari ini sudah memastikan pinjaman mudah dari China turut dilengkapi mekanisme meringankan risiko tukaran matawang
.
“Sama ada distrukturkan sebagai pelaburan terus asing atau pelaburan domestik dengan pinjaman asing, objektif projek ECRL adalah bagi menjana aktiviti ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan jalinan pengangkutan kritikal antara pantai timur dengan pantai barat semenanjung bagi mengatasi keasingan ekonomi, dan ia masih lagi boleh dicapai,” ujarnya.
Pada masa sama, Abdul Rahman berkata, perbezaan utama adalah jika ECRL adalah pelaburan terus asing maka ia pihak asing akan memilik dan mengendalikan rangkaian keretapi ini.
Memandangkan rangkaian keretapi ini akan menyusuri semenanjung, kerajaan telah membuat keputusan bahawa pemilikan dan operasinya mesti dimilik negara bersandarkan kepada faktor keselamatan negara dan strategik ekonomi.
ECRL akan dimiliki dan dioperasikan dengan 100% syarikat subsidari Kementerian Kewangan yang akan membayar soft loan tersebut setelah operasi bermula.
“Jika projek ini adalah pelaburan terus asing, pemilik asing akan memindahkan semula keuntungan dari operasinya ke negara mereka,” katanya.
Katanya lagi, pembiayaan asing bagi projek pelaburan domestik bukan konsep baharu di Malaysia. - Kedahnews.com