Portal Berita Salah Petik Kenyataan, Chef Wan Buat Laporan Polis


KUALA LUMPUR - Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular sebagai Chef Wan membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita, selepas didakwa memetik dengan salah kenyataannya di media sosial, baru-baru ini.

Chef Wan, 59, membuat laporan itu di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, di sini, petang kelmarin, berdasarkan gambar yang dimuat naik beliau di akaun Instagram miliknya.

"Baru selesai membuat laporan polis berhubung penerbitan artikel yang memetik kenyataan saya dengan salah dan menjejaskan reputasi saya.

"Sekarang, perkara ini berada di tangan undang-undang. Semoga keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Menerusi salah satu posting, Chef Wan berkata, penerbitan artikel itu adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan fitnah yang turut merosakkan reputasinya.

Tambah beliau, gambar pada artikel berkenaan juga didakwa disalah guna yang mana ia tidak langsung menggambarkan maksud sebenar yang ingin disampaikannya menerusi satu posting di Instagram sebelum itu.

Artikel itu diterbitkan portal berkenaan pada Selasa lalu, susulan satu posting yang dimuat naik Chef Wan pada sambutan Hari Natal, 25 Disember lalu.

Dalam posting itu, Chef Wan memuat naik gambar baju tertera tulisan 'All I want for Christmas is a new Prime Minister' di akaun Instagramnya sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang melucukan.

Beliau dalam posting itu turut menceritakan pengalamannya didatangi pemimpin UMNO dan pembangkang yang mempelawa untuk membantu mereka berkempen untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, beliau menolak permintaan itu kerana tidak mahu dipergunakan oleh mana-mana pihak.

Dengan mengambil contoh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Chef Wan dalam posting itu juga berkata, politik boleh jadi satu 'permainan kotor' yang mana seseorang yang disanjung tinggi golongan tertentu sebelum ini, boleh dibenci oleh golongan sama dalam sekelip mata.

Pada masa sama, beliau turut menceritakan kisah seorang bekas menteri yang mana ketika berjawatan, individu itu dikatakan sombong, tetapi selepas tidak lagi memegang sebarang jawatan tiada siapa pun mempedulikannya ketika menghadiri satu majlis.

Biarpun tidak berminat dengan politik, namun, Chef Wan tetap menggesa rakyat Malaysia agar keluar mengundi pada PRU akan datang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Hanafiah Arshad, ketika dihubungi BH mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil selepas portal berkenaan didakwa memanipulasi gambarnya selain posting yang dimuat naik yang mendakwa beliau membandingkan Perdana Menteri dulu dengan sekarang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998," katanya.

Sumber: BH Online