Positif Doping, Atlet Malaysia Pulang Pingat Emas


KUALA LUMPUR - Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) semalam mengumumkankan tiga atlet termasuk pemenang pingat emas acara terjun, Wendy Ng Yan Yee, gagal ujian doping di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Selain Wendy, dua atlet Thailand — Nurisan Loseng peserta acara Pencak Silat dan perenang Benjaporn Sriphanomthorn juga gagal dalam ujian “Sampel B’ yang dilaksanakan baru-baru ini.

Presiden SEAGF Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata kemenangan mereka dan pingat yang diperoleh ketiga-tiga atlet itu akan ditarik balik.

“Mereka akan dibatalkan dalam semua acara dan pingat akan diambil balik daripada mereka.

“Jika mereka menang emas, maka pemenang pingat perak akan diumumkan sebagai juara dan pingat emas akan diberikan kepadanya,” kata beliau dalam satu sidang media di sini semalam.

Wendy akan dilucutkan daripada pingat emas yang dimenanginya dalam 3m papan anjal wanita individu dan 3m papan anjal seirama bersama Nur Dhabitah Sabri di KL2017.

Bagi 3m papan anjal individu wanita, Nur Dhabitah memperoleh pingat emas selepas mendapat tempat kedua dalam kategori itu sementara dalam acara 3m papan anjal seirama, pingat emas menjadi milik gandingan penerjun Singapura, Ashlee Tan Yi Xuan dan Fong Kay Yian.

Sementara Nurisan, yang membantu pasukannya memperoleh emas dalam seni berpasukan wanita terpaksa memberi laluan kepada pemenang pingat perak dari Vietnam untuk memenangi pingat emas itu.

Benjaporn juga terpaksa melepaskan dua pingat perak masing-masing dimenanginya dalam acara 10km renang perairan terbuka dan acara 4x200 berganti-ganti berpasukan.

Perenang Singapura Chantal Liew dianugerahkan pingat perak itu bagi acara 10km renang perairan terbuka sementara pasukan renang berganti-ganti Filipina mendapat perak dalam acara 4x200 itu.

Ketiga-tiga atlet didapati positif dengan bahan terlarang, sibutramine oleh Agensi Antidoping Dunia (Wada) di makmalnya di New Delhi, India pada 11 Oktober lepas.

Sibutramine adalah pembantut selera yang selalunya terdapat dalam produk pelangsing badan.- Bernama