PPBM 'Curi' Ahli PAS Di Kubang Pasu?


SELEPAS Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebulan yang lalu, kesabaran PAS Kedah terus diuji.

Semalam seramai 97 ahli PAS Kubang Pasu bertindak meninggalkan parti itu dan memilih PPBM sebagai wadah perjuangan dan bukannya Parti Amanah Negara (PAN).

Sebagai bukti mereka menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri Kedah.

PPBM juga semakin ditinggalkan oleh ahli dan pemimpinnya,  kini menjadikan ahli-ahli PAS yang kecewa sebagai sasaran untuk menambah keahlian baru untuk menghadapi PRU14 yang semakin dekat.

Ketua PPBM Bahagian Kubang Pasu, Mohd Hairy Md Saad mendakwa, penyertaan ahli PAS berkenaan membuktikan PAS tidak lagi dapat kepercayaan dari ahli parti kerana ia menyimpang dari matlamat sebenar.

"Kita sedia maklum PAS cukup terkenal dengan kesetiaan ahli-ahli bawahannya, tapi hari ini kita lihat mereka hilang kepercayaan terhadap parti itu" katanya selepas Program Santai Sejenak di Kampung Alor Batu, Jitra malam tadi.

Hairy mendakwa pimpinan PAS yang diterajui oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekarang ini, lebih memberi sokongan kepada UMNO sedangkan dari dulu, PAS menentang pemerintahan UMNO.

"Jadi apabila mereka tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan, mereka mula mencari parti yang ada hala tuju yang jelas seperti PPBM," katanya.

Beliau  juga tidak menolak kemungkinan penyertaan Datuk Ir Amiruddin Hamzah dalam PPBM turut menjadi pendorong kepada ahli-ahli PAS Kubang Pasu.

Penyertaan ahli PAS kepada parti baharu itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada PAS kerana parti itu berjaya menambah lebih ramai ahli baharu  daripada yang meninggalkan parti.

Lagipun, PPBM juga tidak sekuat mana walaupun kawasan Parlimen Kubang Pasu pernah diwakili oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini mengepalai Pakatan Harapan bersama DAP.

Ahli PAS yang meninggalkan parti kini lebih yakin dengan PPBM walaupun parti itu bermasalah dan berkerjsama rapat dengan DAP yang dikatakan anti Islam. -  Kedahnews.com