"PPBM Dah Terdesak Sangat Nak Sertai PRU14" - Ahli Akademik


Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan bukan untuk membela rakyat terutama orang Melayu di negara ini.

Sebaliknya PPBM diwujudkan hanya untuk menyertai pilihan raya umum 2018 selepas segala usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menemui kegagalan.

Sepatutnya PPBM ditubuhkan lebih awal lagi. 

PPBM kini dilihat cukup tergesa-gesa untuk mengadakan mesyuarat agung tahun (AGM) pertamanya kerana PRU14 semakin hampir.

Dr. Mahathir selaku pengasas dan pengerusi PPMB mengakui baru-baru ini struktur parti itu di peringkat cawangan dan bahagian tidak tersusun dan lemah.

Parti itu hanya mengharap ahli dan penyokong UMNO yang kecewa menyertainya selain simpati pengundi menyokongnya pada PRU akan datang.

Menubuhkan parti perjuangan bagi membela rakyat bukanlah  semudah 'masak mi segera'.

Dalam keadaan terdesak itu, PPBM terpaksa menumpang kekuatan dan pengaruh parti pembangkang seperti DAP dan PKR. Begitu juga Parti Amanah Negara (PAN), masih belum boleh mendakwa  kuat walaupun separuh ahli PAS dikatakan menyokong mereka.

Tidak ada parti yang lemah juga boleh mendabik dada kononnya calon Perdana Menteri mesti daripada kalangan pemimpin mereka.

Dalam hal ini DAP dan PKR juga tentunya 'meragui'  atau 'mencemburui' andainya  Dr. Mahathir diangkat sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada PRU 14.

Seorang penganalisis politik, Dr Salawati Mat Basir, kebiasaannya  AGM sesebuah parti politik akan dimulakan dengan mesyuarat di peringkat cawangan, namun berbeza dengan PPBM yang masih gagal memilih perwakilan peringkat cawangan sehingga hari ini.
.
Dalam hal ini AGM yang bakal diadakan PPBM pada 30 Disember ini tanpa melibatkan perwakilan cawangan, membuktikan parti itu dalam keadaan tergesa-gesa dan terdesak.

“PPBM tahu kekangan kalau tidak buat AGM, ada masalah buat parti untuk menghadapi pilihan raya umum nanti.

“Memang macam terdesak. Memang nampak terdesak sangat. Kalau tidak PPBM tidak boleh sertai PRU,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Salawati, peringkat cawangan merupakan akar umbi yang sepatutnya didahulukan kerana suara, pandangan parti adalah bermula dari situ.

“Amalannya semua parti politik semua bermula dari cawangan, kena ada mesyuarat cawangan sebelum AGM, sebab itu dari akar umbi, macam mana nak tahu perasaan ahli akar umbi, cadangan, pendapat kalau bukan dari situ?” tambahnya.

Sementara Timbalan Presiden PPBM, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui kegagalan menyelesaikan isu berkaitan struktur organisasi akar umbi khususnya di peringkat cawangan menjadi antara punca PPBM gagal mengadakan AGM parti itu.

Ini menyebabkan pendaftaran gabungan Pakatan Harapan turut terjejas.

Salawati yang juga Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pada itu berkata PPBM tidak boleh menyalahkan RoS pada masa depan jika parti itu sekali lagi melanggar perlembagaannya dalam mengadakan AGM hujung tahun ini.

“RoS pun tidak hendak menyusahkan sesiapa walaupun pelbagai tuduhan dan dipersalahkan kepada jabatan itu, " katanya.

PPBM sebelum ini dikatakan memohon beberapa pengecualian kepada RoS bagi mengadakan AGM itu, sekalguskan membolehkan Pakatan Harapan didaftarkan sebagai satu parti bersama DAP, PKR dan PAN. - Kedahnews.com