PPBM, PAN Ketandusan Penyokong, Bersedia Terima Ahli PAS


Penyertaan pemimpin PAS, Datuk Amiruddin Hamzah ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (PPBM) di Kedah baru-baru ini bukanlah 'khabar angin' lagi. Tetapi ianya juga berdasarkan khabar-khabar angin juga pada peringkat awal.

Bagaimanapun seperti biasa ,PAS akan menyatakan penghijrahan Amiruddin ke PPBM sudah dijangka dan tidak merugikan parti itu. 

Begitu juga ahli dan penyokong PAS yang menyertai PAN, bukan lagi khabar angin. Begitu juga ahli PAS yang menyertai PAN tetapi kembali semula ke pangkuan PAS, juga bukan khabar angin lagi.

Baru-baru ini dikhabarkan   lebih 90 ahli PAS sertai PPBM Kubang Pasu, tetapi dinafikan oleh PAS bahagian tersebut. Rupanya yang menyertai PPBM itu adalah anggota PAN yang dahulunya mungkin ahli PAS. 

Kini di Selangor pula dikhabarkan ramai pemimpin PAS termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikhabar akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun  PAS Selangor menepis berita itu sebagai tidak benar dan sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan PAS Selangor bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka kurang tiga bulan dari sekarang.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul  Samad menyifatkan laporan media oleh sebuah portal berita itu  tidak benar dan bertujuan untuk mewujudkan kegusaran dalam kalangan ahli agar mereka hilang tumpuan.

"Saya sudah bercakap dengan ADUN PAS Selangor dan mereka amat terkejut dengan khabar angin itu," katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Iskandar berkata, ahli dan pemimpin PAS Selangor tidak sepatutnya terperangkap dengan strategi musuh yang mahu melumpuhkan persiapan pilihan raya PAS.

Portal berita The Malaysian Insight dua hari lapu melaporkan jentera pilihan raya PKR Selangor diminta bersedia menerima 'gelombang kemasukan kedua' pemimpin dan ahli PAS di negeri itu, termasuk untuk bertanding atas tiket parti berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Di Kedah tersebar juga khabar bahawa beberapa ADUN akan menyeberang kepada parti yang bernaung di bawah Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu.  

Bila hampir dengan PRU14, ADUN  pembangkang yang tidak konsisten akan berhijrah apatah lagi ada dua parti baharu yang bersedia membuka pintu, iaitu PAN dan PPBM.

Dua parti baharu itu amat memerlukan pemimpin yang mempunyai ramai pengikut.
,
Bagaimanapun PAS terutama di Kedah tidak perlu bimbang kerana mereka mempunyai ramai calon yang berwibawa dan menerima lebih ramai ahli baharu daripada ahli yang keluar parti. - Kedahnews.com