PPBM Semakin Terdesak, AGM 30 Disember Ini Dipersoal


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seperti amat terdesak untuk mengadakan mesyuarat agung (AGM) parti itu pada 30 Disember ini bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.  

Sebelum ini PPBM telah memohon pengecualian daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)
daripada mengadakan AGM bagi membolehkan parti itu bergabung dengan Pakatan Harapan dan didaftarkan.   

Antara sebab PH gagal didaftarkan ialah kerana PPBM belum mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama.

Menurut RoS, banyak cadangan pengecualian yang dipohon  oleh PPBM,  bukan sahaja bertentangan dengan akta tersebut, malah perlembagaan parti itu sendiri serta disifatkan tidak pernah berlaku seumpamanya dan bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagaimanapun dilaporkan berkata , berdasarkan maklum balas RoS melalui surat bertarikh 19 Disember lalu dengan mengatakan parti itu perlu mengadakan AGM berdasarkan kaedah yang ditetapkan dalam perlembagaannya.

“Justeru dengan maklum balas ini, kami berpendapat ROS tiada halangan terhadap PPBM untuk mengadakan AGM  nanti dan ia selaras dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan parti,” katanya.

Menurut Mukhriz, AGM PPBM yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam nanti mencatatkan sejarah kerana menjadi AGM pertama bagi parti itu.

AGM itu akan dihadiri pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi serta 990 perwakilan daripada 137 bahagian.

Sementara itu, ramai yang mempersoalkan adakah PPBM juga sudah selesai mengadakan AGM di peringkat bahagian. - Kedahnews.com.