Prestasi Tak Konsisten Menakutkan - Norza


KUALA LUMPUR - Pencapaian dan prestasi tidak konsisten pemain badminton negara agak 'menakutkan' berbanding peningkatan ditunjukkan pemain dari negara bukan kuasa badminton dunia.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui situasi demikian apabila membuat perbandingan dengan beberapa negara termasuk India, Taiwan dan Jepun pada ketika ini.

"Kita ini terdedah kepada kebergantungan kepada pemain-pemain tertentu. Dengan hanya kerana Datuk Lee Chong Wei berada dalam final Terbuka Hong Kong untuk kali ke 101, kita sentiasa beranggapan bahawa prestasi sukan badminton negara kita berada dalam keadaan baik.

"Sudah tiba masa kita kena ambil inisiatif untuk tentukan lebih ramai individu yang boleh diharapkan. Kita kena bandingkan dengan negara-negara lain, yang bukan negara tradisi kuasa badminton,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Anggota Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada Sabtu.

Berdasarkan penilaian, Mohamad Norza berkata bagi kategori pemain perseorangan lelaki, India mempunyai tiga pemain pada ranking ke-20 teratas (K. Srikanth, H.S Prannoy dan B.Sai Praneeth) berbanding Malaysia yang hanya bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei.

Bagi kategori beregu lelaki pula, Indonesia mempunyai lima pasangan diikuti Taiwan dengan tiga pasangan manakala Malaysia bergantung kepada Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang berada di kedudukan ke-18 dunia.

"Dalam perseorangan wanita pula, Taiwan mempunyai tujuh pemain dalam 50 teratas manakala Malaysia satu, beregu wanita pula Malaysia ada tiga pasangan berbanding Jepun dengan sembilan pasangan manakala beregu campuran pula Malaysia mempunyai tiga pasangan berbanding Taiwan ada enam gandingan.

"Inilah di mana kita berada sekarang. Ia agak menakutkan,” katanya.

Justeru, Mohamad Norza mengingatkan pemain mengenai cabaran getir yang dihadapi mereka dan juga badminton negara dan menggesa agar mereka membuka lembaran baharu dengan meningkatkan prestasi masing-masing pada 2018.

Beliau berkata dengan adanya sistem jendela penyingkiran yang akan dilaksanakan pada Februari dan Ogos tahun depan, beliau yakin barisan pemain akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memperbaiki prestasi mereka bagi mengelak disingkirkan daripada BAM.

"Saya bercakap dengan mereka pada perhimpunan bulanan pagi tadi, dan kita letakkan harapan mereka dapat menerima nasihat yang diberikan dan bersedia untuk tingkatkan prestasi pada 2018 kerana kita ada beberapa kejohanan penting termasuk kelayakan Piala Thomas, pusingan akhir Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Kita juga membayar hadiah wang tunai dan bonus kejohanan kepada pemain yang jumlah keseluruhan lebih RM1 juta dan ini dapat memberi semangat baharu kepada pemain untuk menghadapi 2018,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata kesemua pemain remaja di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) akan dipindahkan ke ABM menjelang suku pertama 2018, selepas penyerahan secara rasmi ABM kepada Kementerian Belia dan Sukan pada 19 Jan tahun depan.

Katanya, ia melibatkan 60 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima yang akan mengikuti pengajian dan menjalani latihan sepenuhnya di akademi berkenaan.

"Guru-guru akan datang ke sini untuk mengajar. Kita sudah menulis surat secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan khidmat guru di ABM dan kita akan berkomunikasi dengan ibu bapa berhubung perkara ini,” katanya. -Bernama