Puluhan Penerbangan Terganggu Di UAE Akibat Kabus


DUBAI - Kabus tebal semalam mengganggu penerbangan di lapangan terbang utama Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika ribuan penduduk warga asing bergegas pulang ke negara masing-masing untuk menyambut Krismas dan Tahun Baru.

Puluhan penerbangan dibatalkan, dilencongkan atau ditangguhkan di tiga lapangan terbang utama di Abu Dhabi, Dubai dan Sharjah.

Di lapangan terbang Dubai, antara yang paling sibuk di dunia, sekurang-kurangnya 17 penerbangan dibatalkan, apabila kadar penglihatan menurun kepada cuma 100 meter di beberapa wilayah negara itu.

Sekurang-kurangnya 100 lagi penerbangan masuk sama ada dilencongkan ke lapangan terbang berhampiran atau ditangguhkan, menurut jadual penerbangan di lapangan terbang itu.

Lapangan terbang Dubai adalah hab transit utama, dan ribuan pelancong dijangka melawat UAE untuk menghadiri pesta akhir tahun.

Syarikat penerbangan Dubai, Emirates Airlines, yang memiliki lebih 250 kapal terbang besar, berkata ia membatalkan 10 penerbangan berlepas.

Kabus menyelubungi kebanyakan wilayah negara itu sejak kelmarin, tetapi ia semakin teruk menjelang tengah malam apabila kelembapan meningkat kepada 95 peratus di tengah cuaca musim sejuk. - AFP