Puteri UMNO Kuala Kedah Mantapkan Jentera ICT


ALOR SETAR - Puteri UMNO Kuala Kedah turut mengorak langkah mengemaskini jentera penggempur media sosialnya  bagi  menangkis tohmahan pihak pembangkang terhadap kerajaan dan pucuk pimpinan parti..

Di samping itu Puteri akan menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan fakta bagi meyakinkan para pengundi menerusi ceramah dan  kempen maya menjelang  Pilihan Raya Umum- Ke14.

Semalam Puteri dengan kerjasama UMNO Bahagian Kuala  menganjurkan Kursus ICT di Peringkat DUN Kubang Rotan yang disertai lebih 20 ahlinya di Ibu Pejabat UMNO Negeri di Bangunan Tunku di sini.

Kursus sehari itu diadakan untuk memantapkan ahlinya dengan ilmu pengetahuan dan fakta yang tepat bagi menjawab dan menyerang kembali parti lawan di atas kesilapan dan fitnah yang mereka lakukan.

Program itu sejajar dengan kehendak politik semasa di mana lebih 80 peratus berita dan maklumat kepada pengundi disebarkan menerusi internet seperti  laman sosial FB, WhatsApp dan pelbagai saluran lain.

Semalam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu jentera pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) menggunakan media sosial secara optimum untuk memenangi hati dan fikiran pengundi, khususnya pengundi muda pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO  berkata pendekatan tersebut  perlu memandangkan media sosial amat berpengaruh dalam membentuk persepsi pengundi sekali gus mempengaruhi cara mereka membuat keputusan.

Timbalan Perdana Menteri berkata media sosial juga begitu meluas digunakan sehingga 82 peratus maklumat dan berita kepada pengundi disampaikan melalui plaftorm itu.

"Pistol atau senjata-senjata lain tidak akan dapat digunakan untuk memenangi hati dan minda (pengundi). Senjata yang tajam hanya berada di hujung jariyang harus kita gunakan bagi menghadapi PU14," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO Sabah semalam.