Rahsia Wanita Jepun Awet Muda


MUNGKIN anda juga bersetuju apabila ada orang yang mengatakan bahawa wanita Jepun merupakan antara yang tercantik dan elegan di seluruh dunia.

Ketika berumur 30 mereka kelihatan seperti berumur 18, ketika berumur 40 mereka kelihatan seperti berumur 25.

Daripada segi jangka hayat mereka dikatakan antara bangsa yang hidup paling lama.

Apakah agaknya rahsia di sebalik sifat mereka yang kelihatan lebih muda daripada umur biologi? Dalam artikel ini penulis bincangkan faktor-faktor daripada sudut kebiasaan cara makan dan pola makanan yang dipercayai membantu mereka awet muda.

DIET seimbang dan kaya nutrien

Daripada segi diet, ramai yang terkeliru dengan percaya bahawa orang Jepun hanya makan sushi sepanjang hidup.

Hakikat yang berlaku ialah diet mereka terdiri daripada berbagai jenis. Selain rumpai laut, mereka makan ikan, produk kacang soya, nasi, buah-buahan dan teh hijau.

Makanan mereka yang berbagai adalah seimbang daripada segi nilai nutrien di mana ia bukan terdiri daripada makanan berkalori tinggi dan bukan makanan merapu kurang khasiat (junk foods).

Mereka makan buah-buahan segar dan masak yang dipetik pada musim yang berbeza-beza. Ini sudah tentu menyumbang kepelbagaian nutrien. Begitu juga dengan ikan. Mereka makan ikan yang berbeza yang ditangkap pada musim yang berbeza-beza.

Amalan tradisi pada musim sejuk misalnya, mereka mengambil daging, ikan serta sup dan minuman panas. Pada musim panas mereka makan sup sejuk, makanan laut, ramen sejuk dan salad.

Kaedah memasak

Orang Jepun biasa memasak makanan dengan cara merebus, memanggang, mengukus atau menggoreng menggunakan kuali khas dan menggunakan sedikit minyak masak. Sayur-sayuran dihiris agar ia dapat dimasak dengan pantas selain dapat mengekalkan sebahagian besar nilai nutrien serta menghasilkan penampilan lebih baik.

Air rebusan sayur-sayuran yang juga kaya dengan nilai nutrien merupakan asas kebanyakan jenis makanan.

Wanita Jepun berhati-hati ketika menambah rempah ratus kerana mereka lebih gemar makan makanan yang tidak membebankan fungsi perut, hati dan buah pinggang. Selain mengekalkan rasa asli, makanan Jepun jarang dihias. Hasilnya ia mengekalkan rupa dan warna semula jadi.

Budaya makan

Cara orang Jepun makan juga ada tatacara adab tersendiri. Mereka makan perlahan-lahan, secebis atau sesuap kecil setiap kali suapan.

Bekas makanan dan kuantiti makanan mereka juga kecil.

Bekas makanan mereka tidak penuh dengan makanan hingga ke pinggir pinggan atau piring.

Membiasakan diri makan perlahan-lahan pada setiap kali makan dipercayai menyebabkan mereka lebih mudah berasa kenyang.

Mereka jarang-jarang makan beberapa jenis makanan berbeza dalam satu bekas kerana mereka percaya setiap makanan harus menempati bekas tersendiri.

Daripada satu sisi kebiasaan ini dipercayai menunjukkan adat resam mereka berkaitan makan sebagai bangsa yang penuh tata tertib (cara mereka), tidak gelojoh di samping menjaga adab ketika makan.

Nasi

Mereka makan nasi seperti anda. Yang berbeza ialah kuantiti nasi berkanji yang mereka makan tidak sebanyak yang dimakan oleh sesetengah orang di sekeliling anda. Kebiasaan makan seperti ini berserta kebiasaan disebutkan di atas (Budaya Nakan) menjadikan mereka mudah kenyang hanya dengan makan makanan pada kuantiti rendah.

Sarapan

Berdasarkan jenis makanan yang dimakan, sarapan mereka adalah masa makan utama. Makanan sarapan mereka terdiri daripada beberapa jenis iaitu ikan, nasi, telur dadar, sup miso, tofu bercampur sayur-sayuran hijau, rumpai laut dan teh.

Menambah gula ke dalam teh termasuk teh hijau boleh dikatakan bukan amalan orang Jepun.

Jadi khasiat antioksidan masih kekal tinggi berbanding dengan teh susu, teh atau teh O ais yang biasa diminum di negara kita.

Walau pun sesetengah orang mengamalkan minum teh kurang manis, penambahan gula sebenarnya akan mengurangkan nilai antioksidan teh.

Pencuci mulut unik

Orang Jepun dikatakan jarang mengambil pencuci mulut. Pencuci mulut mereka biasanya lebih menyihatkan kerana rendah kandungan lemak dan gula.

Ais krim tradisional mereka diperbuat daripada nasi berkanji (mochi).

Pengajaran: Kebiasaan tabiat makan dan pola DIET orang Jepun bukan sahaja menjadikan mereka kelihatan lebih muda berbanding umur biologi malah ia dipercayai membantu daripada segi keseimbangan fisiologi yang membantu mereka sentiasa sihat.

Sumber: Sinar Online