ALOR SETAR - Fenomena luar biasa angin sejuk dan lembab kembali melanda Kedah, berikutan tempias luruan angin dari China.
Hasil tinjauan wartawan mendapati cuaca dingin dan angin yang agak kencang itu dirasai sejak beberapa hari lalu menyebabkan ramai rasa teruja dengan keadaan itu.
Seorang peniaga pasar malam, Noorhamisah Mohamad Abdullah, 35, berkata dia dan keluarganya tidur nyenyak setiap malam, hingga memaksa lima orang anaknya menggunakan selimut.
"Anak saya yang berusia lima hingga 13 tahun jarang menggunakan selimut kecuali hujan, tapi sejak beberapa lalu, mereka perlukan selimut. Kipas angin dah tak perlu pasang, cukup hanya menggunakan ubat nyamuk bagi menghalaunya.
"Mujurlah sekarang musim cuti sekolah, jika tidak saya yakin mereka liat untuk bangun pagi dan bersiap ke sekolah, ketika waktu pagi cuaca lebih sejuk sehingga mencengkam tulang," katanya yang dipetik BH Online
Tambah Noorhamisah, keadaan angin kencang turut memaksanya memegang khemah ketika berniaga.
Katanya, angin sejuk dan kuat melanda setiap tahun itu dikenali sebagai angin timur dan ia menandakan musim kemarau akan tiba.
Semalam media melaporkan Pengarah Meteorologi Kedah, Rosli Zakaria berkata, cuaca sejuk itu berpunca daripada sistem tekanan tinggi yang kuat dari China menyebabkan suhu di utara Kedah dan Perlis menurun.
Suhu menunjukkan penurunan ketara berdasarkan rekod dalam tempoh seminggu, bermula 17 Disember.
"Suhu waktu siang bermula 17 hingga 22 Disember ialah 33 darjah Celsius, menurun kepada 31.4, 31.6, 29.6, 31.0 dan 27.0, manakala bacaan suhu minimum yang biasanya pada awal pagi di Alor Setar antara 22.6 hingga 23.0 darjah Celsius,"katanya. - Kedahnews.com