Rakyat Makin "Celik", DAP Akan Terima "Pukulan Maut" - Mursyidul Am PAS


ALOR SETAR - Rakyat di negara ini dilihat semakin "celik" dan kembali sedar tentang strategi serta hala tuju sebenar DAP di dalam Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin berkata, DAP sememangnya mendominasi semua parti di dalam Pakatan Harapan dan parti-parti berkenaan juga kini menyedari tentang agenda parti yang terkenal dengan label "chauvinis ultra kiasu" itu.

"Bagi saya rakyat sudah mula sedar hala tuju DAP dan rakyat sudah mula faham.

"Jadi bagi saya parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan hari ini dah mula tahu hala tuju DAP dan siapa di belakang mereka," kata Mursyidul Am PAS itu ketika ditemubual sebuah portal baru-baru ini.

Ramai penganalisis politik sebelum ini menganggap DAP lebih menguasai Pakatan Harapan ekoran dari tindak-tanduk pemimpin parti itu yang membuat kenyataan unilateral bagi gabungan pembangkang tersebut tanpa merujuk kepada parti sekutunya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebelum ini selamba mengumumkan calon Perdana Menteri bagi pihak Pakatan Harapan meskipun pemimpin parti sekutunya menjelaskan ia masih dalam perbincangan.

Guan Eng dalam reaksinya baru-baru ini tanpa kehadiran pemimpin parti sekutunya yang lain menegaskan bahawa nama calon Perdana Menteri dan Timbalannya akan diumumkan pada Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari tahun depan.

Oleh yang demikian, Ustaz Hashim berkata, majoriti rakyat di negara ini tidak akan terpedaya dengan permainan strategi politik DAP itu dan bakal menghadiahkan "pukulan maut" kepada parti tersebut pada PRU ke-14 nanti.

"Maka kerana itu saya rasa pilihan raya yang akan datang akan memberi pukulan maut kepada DAP kerana kesedaran rakyat itu sendiri," tegas beliau. - Kedahnews.com