Ramai Bayi Lahir Lebih 4 Kilogram Di Australia: Kajian


SYDNEY – Kajian terkini di Australia mendapati ramai bayi di negara itu mempunyai berat melebihi empat kilogram ketika dilahirkan, lapor agensi berita Xinhua.

Kajian melibatkan sejumlah 2,900 kes oleh sepasukan doktor dan penyelidik itu, menunjukkan bilangan bayi yang dilahirkan melebihi standard antarabangsa iaitu empat kilogram, jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Bayi yang lahir dengan berat berlebihan mempunyai risiko berdepan komplikasi ketika dilahirkan, masalah obesiti dan menghidap diabetes jenis 2.

“Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang diterbitkan baru-baru ini, penjagaan sewaktu hamil sangat perlu dititikberatkan untuk mengurangkan kesan jangka panjang terhadap masalah obesiti.

“Masa yang paling sesuai untuk menangani faktor risiko adalah sebelum dan antara kehamilan,” kata penyelidik.

Menurut kajian itu lagi, wanita hamil dengan indeks jisim badan lebih tinggi dan menghidap diabetes menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan peluang kelahiran bayi lebih besar.

Hasil kajian itu dikeluarkan ‘Royal Australian and New Zealand Journal of Obstetricians and Gynecologists’ pada Jumaat. – BERNAMA