Ramon Marcote Sah Ketua Jurulatih Lang Merah


ALOR SETAR – Teka-teki siapa yang bakal menjadi Jurulatih Kedah bagi menggantikan Mohd Nidzam Adzha Yusoff kini sudah terjawab.

Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mendedahkan jurulatih dari Sepanyol, Ramon Marcote bakal mengendali skuad Lang Merah bagi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Perkara itu disahkan olehnya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, jurulatih berkenaan telah berada di Alor Setar untuk proses menandatangani kontrak perjanjian selaku ketua jurulatih Kedah dengan pihak pengurusan KFA.

“Kita dah buat keputusan dan jurulatih baharu sudah pun berada di sini cuma saya belum jumpa lagi. Kita akan jumpa dan tandatangan kontrak tidak lama lagi tapi kita masih belum putuskan tempoh kontrak sama ada setahun atau dua tahun,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort&Country Club hari ini.

Marcote yang dikhabarkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 6 Dis mula mencetuskan beberapa spekulasi bakal dilantik secara sah sebagai ketua jurulatih Kedah bagi musim 2018.

Marcote menjadi bualan selaku calon bagi menggantikan khidmat Mohd Nidzam yang menyatakan kesediaan untuk berundur selepas gagal membantu Lang Merah mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia 2017.

Bekas penolong jurulatih Atletico Madrid itu pernah bersama Kedah pada 2015 sebagai jurulatih kecergasan, berjaya membawa Kedah ke pentas final ketika memangku tanggungjawab jurulatih berikutan ketiadaan Tan Cheng Hoe yang mengikuti kursus kejurulatihan profesional di China.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata skuad Hijau Kuning mengekalkan dua pemain import dari musim lepas, Liridon Krasniqi dan Sandro Mendonca, manakala yang selebihnya akan ditentukan oleh ketua jurulatih nanti. - Kedahnews.com