RLIR 2018: 20 Kapal Layar Sedia Berentap


KUALA LUMPUR – Edisi ke-16 Royal Langkawi International Regatta (RLIR) 2018 yang membuka tirai pada 8 hingga 13 Janua­ri ini di Pulau Langkawi bakal menyaksikan persaingan 20 buah bot daripada sembilan negara.

Negara-negara yang bertan­ding seperti Australia, Perancis, Denmark, Jepun, Britain, Rusia, Thailand, Singapura dan Malaysia selaku tuan rumah bakal merebut trofi dalam tujuh kelas pertandingan iaitu Ra­cing, IRC 1, IRC 2, Club Cruising, Multihull, Ocean River dan White Sail.

Menurut ke­nyataan akhbar yang dikeluarkan Kelab Diraja Kapal Layar Langkawi, mata kini tertumpu kepada juara bertahan untuk kategori Racing, Don Whitcraft yang memenangi Trofi Cabaran Perdana Menteri pada RLIR 2017 setelah peserta dari Thailand itu mengesahkan pe­nyertaan.

Malaysia pula bakal diwakili Vincent Chan dari pasukan Mata Hari yang merupakan pemenang tiga gelaran berturut-turut bagi Trofi Cabaran LADA-IRC dan Ramasamy Menon yang bertanding dalam kategori Club Cruising.

Pasukan terbaik yang mempamerkan semangat setia kawan dan bersaing secara adil tidak kira ketika berada di darat mahupun di lautan, bakal memenangi Anugerah Semangat Kesukanan Tunku Abdullah.

Almarhum Tan Sri Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman merupakan pengasas Kelab Diraja Kapal Layar Langkawi.

Pengurus Besar Kelab Diraja Kapal Layar Langkawi, Tafyun Koksal berkata, beliau amat teruja dapat menyaksikan penyertaan daripada peserta lama dan baharu pada pertandingan kali ini.

“Kami bersedia untuk me­ngalu-alukan kedatangan lebih 100 pelayar tempatan dan antarabangsa ke kelab kami bagi merasai pengalaman bertanding di Langkawi.

“Regatta kini menjadi salah satu kejohanan utama dalam kalendar sukan kapal layar di Asia.

“Pada pertandingan ini, kita berpeluang untuk menyaksikan pelayar lama serta baharu bertanding bagi merebut gelaran, dan saya berharap persai­ngan tersebut bakal berlangsung sengit pada regatta kali ini,” katanya.

Penganjuran RLIR yang kini memasuki tahun ke-16 mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Belia dan Sukan.

Sumber: Utusan Online