Rogol: Sedapnya Hanya Dua Minit, Tapi Akibatnya...


JENAYAH rogol bukan lagi suatu yang asing dalam masyarakat dunia hari ini.

Saban hari, portal media dan pemberita rancak melaporkan jenayah keji ini kepada masyarakat kita.

Namun sejauh mana pemahaman kita terhadap jenayah ini dan apa yang perlu diambil bagi melindungi diri kita dan orang-orang yang disayangi daripada menjadi mangsa?

Sorotan berita sepanjang 2017 tahun memaparkan jenayah seksual ini tidak pernah menyepi daripada kehidupan masyarakat.

Di mana silapnya?

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, kadar jenayah seksual ini dikatakan mempunyai 'rating' sama tinggi dengan jenayah komersial yang lain.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang diratah tubuhnya secara paksa oleh seorang lelaki yang datang bertanyakan arah ketika mangsa sedang menunggu bas.

Mangsa yang diacukan pisau bukan sahaja dirogol dan diliwat, malah turut dipaksa menyerahkan telefon bimbit dan wang ringgit.

Tunggu bas pun boleh kena rogol, bayangkanlah betapa tidak selamatnya dunia di luar sana untuk kita dan anak-anak kita.

Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Kes rogol dan samun pelajar IPT berkenaan berlanjutan kepada pendakwaan seorang pemandu forklif kilang keluli yang baharu mendirikan rumah tangga pada Oktober lalu.

Harus diingatkan, bagi mereka yang berniat atau sedang merancang untuk melakukan jenayah ini, waspadalah!

Sedap hanya 'dua minit', di hujung hari, gari di tangan menanti.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affendi, kemuncak 'pesona' rogol bukan terletak kepada kehebatan dan kerakusannya meratah maruah mangsa.

Sebaliknya kata Kamal, kemenangan sebenar jenayah ini adalah kepuasan merancang dan memerangkap mangsa yang menjadi sasarannya.

"Rogol ni yang bestnya cuma dua minit, keseronokan sebenar perogol adalah menerusi perancangan yang dibuat secara teliti; yang mana mungkin mengambil masa sejam, dua jam, sehari atau pun sebulan.

"Satu perkara tentang perogol adalah mereka tidak pernah 'bersalah', (bagi mereka) yang bersalah adalah mangsa, keadaan, masalah keluarganya, ataupun apa sahaja yang berada di sekelilingnya dan bukannya perogol itu sendiri.

"Mereka tidak pernah rasa bersalah dan menyesal dengan perbuatan mereka, apa yang disesalkan adalah perbuatan mereka akhirnya 'terkantoi'," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menambah hukuman penjara terhadap empat remaja berusia 16 dan 17 tahun daripada lima hari kepada masing-masing lima tahun dan 10 tahun atas kesalahan merogol berkumpulan terhadap seorang gadis berusia 13 tahun, tahun lepas.

Tiga daripada remaja itu dihukum penjara 10 tahun manakala seorang lagi lima tahun kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa.

Jangan ingat rogol hanya boleh berlaku antara diri kita dengan orang yang tidak dikenali sahaja.

Harus diingat, jenayah boleh berlaku di mana-mana dan tak kira siapa, bahkan kita juga perlu berhati-hati meskipun dengan darah daging sendiri.

Laporan Sinar Harian pada September lalu merekodkan seorang bapa dan anak lelakinya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Ampang di Kuala Lumpur atas pertuduhan merogol darah daging mereka sendiri, lima tahun lepas.

Lelaki itu, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah plaza tol, didakwa merogol anak perempuan kandungnya yang ketika itu berumur di antara 10 tahun dan 12 tahun, di sebuah pangsapuri di Ampang Jaya di sini di antara 2012 dan 2014.

Anak lelakinya iaitu abang mangsa didakwa merogol adik perempuan kandungnya itu di tempat sama pada Disember 2015 ketika mangsa berumur 13 tahun.

Wahai wanita, jangan ingat kita selamat, dalam rumah sendiri pun boleh kena rogol!

Menurut Pengarah Kempen Stop #Perogoldalamrumah, Abdja Zulkifli, istilah 'sumbang mahram' adalah label yang terlalu lembut digunakan bagi seorang perogol.

Abdja berkata, masyarakat sepatutnya dididik untuk menggunakan istilah 'rogol' bagi menggambarkan perbuatan keji perogol yang tinggal sebumbung dengan mangsa.

"Rogol adalah penyakit yang menular dalam masyarakat hari ini.

"Rogol adalah jenayah yang boleh dibanteras daripada awal, ,kita kena didik anak kita sejak kecil untuk tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, apa yang boleh dipegang dan apa yang tak boleh disentuh," katanya menerusi Wacana Siri ke 51 bertajuk ‘Perogol Dalam Rumah’ di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf 28 November lalu.

Dalam isu ini, ibu bapa, khususnya si ibu, harus memainkan peranan penting dalam melindungi 'anak dara' masing-masing.

Pahit untuk ditelan, namun hakikatnya ada ibu yang tidak melindungi anak gadisnya sendiri daripada 'diratah' suami kerana sibuk dengan komitmen lain.

Menurut Abdja, pengakuan itu diperoleh hasil daripada kempen yang dijalankannya selama ini.

Sumber: Sinar Harian