COX'X BAZAR - Walaupun berdepan risiko penyakit, kebuluran dan kesengsaraan, ramai pelarian Rohingya lebih sanggup tinggal di kem pelarian di Bangladesh daripada pulang semula ke Myanmar.
November lalu, Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian untuk menghantar pulang pelarian dalam tempoh dua bulan, namun ramai etnik Rohingya masih ragu-ragu ekoran trauma akibat kekejaman ganas ketika dihalau.
“Mereka (Myanmar) berjanji dan tidak akan mematuhinya. Apabila kami pulang, mereka akan menyeksa dan membunuh kami semula,” kata pelarian Rohingya, Muhammad Syed, 33.
Namun, kebimbangan mereka berasas. Kelmarin, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) melaporkan, sekurang-kurangnya 6,700 etnik Rohingya dibunuh dalam bulan pertama operasi tentera Myanmar ke atas pemberontak di negeri Rakhine, mulai Ogos lalu.
Sejak operasi ketenteraan bermula, hampir 650,000 minoriti Muslim itu sudah melarikan diri merentasi sempadan ke daerah Cox’s Bazar, tenggara Bangladesh.
Myanmar sering menafikan bahawa kekejaman berlaku di Rakhine dan mengatakan operasi ketenteraan itu adalah tindak balas mereka terhadap tindakan pemberontak menyerang pos polis dan menyebabkan pegawai mereka terbunuh.
“Ia satu perangkap. Mereka sudah banyak kali memberi jaminan sebelum ini dan masih menjadikan kehidupan kami seperti neraka.
“Saya lebih rela mati daripada pulang semula. Di sini kami diberi makan dan perlindungan serta boleh beribadat secara bebas,” kata seorang wanita dikenali sebagai Dolu. - AFP