‘Rombongan’ Angkat Berat Dari Kedah Mahu Jumpa Khairy


ALOR SETAR  – Kalangan presiden persatuan angkat berat di setiap negeri kini menunggu masa untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan pengguguran sukan itu daripada senarai sukan teras Majlis Sukan Malaysia (MSN), baru-baru ini.

Presiden Persatuan Angkat Berat Kedah Darul Aman (PABKDA), Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid berkata, kunjungan hormat yang dilakukan secara 'rombongan' itu juga memberi tumpuan untuk bertemu Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Jujur saya katakan, rata-rata kami memang terkejut dengan pengumuman yang dibuat. Terasa luruh jantung kerana sukan ini mempunyai banyak pelapis yang diyakini mampu menyumbang pingat di pentas tertinggi.

"Terasa lemah semangat kami apatah lagi ada sesetengah negeri yang melabur jutaan ringgit untuk pembangunan atlet. Disebabkan itu, kami amat berharap untuk mengadakan pertemuan bersama menteri dan MSN agar dapat 'bersembang' mengenai masa depan sukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada lima atlet muda kurang berkemampuan yang kini bernaung di bawah kelab itu.

Kelima-lima mereka iaitu Norida Yahya, 14, Norizan Yahya, 13, Dayang Karmilia Rodzi, 15, Dayang Karmila Rodzi, 15 serta Angcana Soom Boon merupakan atlet muda yang menjalani latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai serta tinggal di kawasan setinggan dekat Taman Seri Putra, Kuala Kedah bersama keluarga masing-masing akibat desakan hidup.

Sementara itu katanya, bantuan yang disampaikan itu diharap mampu meringankan beban ditanggung keluarga terbabit menjelang pembukaan semula sekolah, minggu depan.

Sumber: Utusan Online