Rotan Pelajar: Pendidik Lancar Dana Bantu Ustaz Adib


KUALA LUMPUR - Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) melancarkan kutipan dana bagi membantu kos guaman guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Muhammad Adib Abd Halim Yahaya.

Presiden Pendidik Normala Sudirman, berkata pihaknya percaya tidak ramai yang tahu kes Muhammad Adib sehingga kejadian Cikgu Azizan Manap dihadapkan ke Mahkamah Seremban, viral di media sosial.

"Sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah, kami badan bukan kerajaan (NGO) Pendidik melancarkan 'Dana Untuk Ustaz Adib' bagi meringankan beban kos guamannya.

"Warga pendidik, ibu bapa, NGO Pendidikan dan orang ramai diminta menghulurkan sumbangan agar dapat meringankan beban Muhammad Adib," katanya menerusi kenyataan media.

Normala berkata, guru Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, pada 26 Disember lalu atas tuduhan merotan pelajar yang enggan menunaikan solat ketika sesi persekolahan.

Lulusan jurusan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS ) yang berkhidmat sebagai guru KAFA selama tiga tahun dikatakan mengenakan hukuman rotan di bahagian kaki kepada empat pelajar berusia 11 tahun yang enggan dan melengahkan solat, pada 17 Ogos lalu.

Beliau mengenakan hukuman itu bertujuan mendisiplinkan pelajar.

Akibat tindakan itu, Muhammad Adib, 23, dihadapkan ke mahkamah dan dibicarakan bermula 27 September lalu. Beliau diwakili peguam Ahmad Azim Daniel Gurpreet Abdullah.

Pada perbicaraan 26 Disember lalu, Mahkamah Majistret Kajang menetapkan tarikh perbicaraan akan disambung semula pada 6 dan 7 Februari depan.

Muhammad Adib sebelum ini ditahan reman dan dimasukkan ke lokap selama lima hari bersama-sama pesalah yang terbabit dalam kes jenayah lain seperti penyalahgunaan dadah, kes mencuri dan pelbagai kesalahan jenayah.

Sebelum ini beliau diikat jamin oleh ibu bapa sebanyak RM2,500.

Bapanya Abd Halim Yahaya dan ibunya, Noraini Samli hanya peniaga nasi lemak dan perlu menyara dua lagi adiknya yang masih bersekolah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulur sumbangan kepada Muhammad Adib menerusi akaun Bank Islam 14210020129904 atau menghubunginya di talian 0145073438.

Sumber: BH Online