ALOR SETAR- Seorang ibu tunggal terpaksa berputih mata apabila kehilangan wang tunai RM10,000 yang disimpan bawah tilam dalam kejadian kebakaran rumahnya di Kampung Sungai Buloh, Bandar Baharu pada lewat petang semalam.
Mangsa, Razamah Abd Rahim, 51, berkata ketika kejadian dia dan seorang anak tunggalnya tiada di rumah kerana keluar bekerja di Kulim.
"Saya keluar rumah seperti biasa, lepas jam 3.30 petang, saya pergi ke LHDN untuk kemaskini BR1M, kebetulan pula telefon saya tak ada bateri, memang saya telefon tak dapat.
"Lepas semua selesai saya balik dalam keadaan tidak tahu apa, sampai saja di simpang masuk kampung baru ada orang bagitahu rumah sudah terbakar," katanya sayu.
Sampai sahaja dirumah, dia hanya mampu melihat sisa rumahnya terbakar sambil anggota bomba memadamkan kebakaran dan orang ramai berkumpul berdekatan kawasan rumah.
"Sampai saja di depan rumah, memang tak terkata saya, jatuh terduduk. Saya menangis tak sangka rumah yang saya duduk sudah lama hilang sekelip mata.
"Lebih sedih wang kerja yang saya simpan selama 10 tahun lenyap macam itu saja, niat nak beli baju sekolah anak menakan (saudara) hujung tahun ini tak dapat juga," katanya.
Razamah berkata, buat sementara waktu dia menumpang di surau berdekatan sebelum berpindah ke rumah yang diberikan jiran untuk didiami sebelum rumah baru dibina.
"Buat masa lani (sekarang) saya dok tumpang surau dulu, memang ada saudara mara ajak tidur rumah mereka, tapi nanti saya akan tumpang rumah yang dibagi jiran buat sementara waktu," katanya. - Kedahnews.com