Rusia Bantah Usaha AS Pindah Ibu Kota Israel


MOSCOW – Selepas dua sekutunya sendiri, Britain dan Perancis tidak bersetuju tindakan Amerika Syarikat (AS) pindah ibu kota Israel ke Baitulmaqdis, kali ini Rusia turut menolak langkah itu.

Negara terbesar di dunia itu mengikut jejak China yang turut menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ada kuasa veto, malah bantah usaha AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Rusia di sini hari ini, Moscow memandang serius keputusan Washington DC kerana ia dijangka menyukarkan lagi rundingan damai Israel-Palestin dan memburukan situasi politik Asia Barat.

“Kami percaya penyelesaian adil dan berkekalan selesai konflik itu wajar berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB serta rundingan langsung dua pihak terbabit.

“Pendirian baharu AS ini merumitkan situasi. Dalam konteks ini, kami desak semua pihak melaksanakan kawalan kendiri dan mengelak daripada tindakan yang boleh bawa keadaan lebih tidak terkawal,” kata kenyataan tersebut.

Kerajaan Rusia dalam pada itu mengambil perhatian berat dengan pengumuman Presiden AS, Donald Trump yang turut menyaksikan Jabatan Negara AS bakal memindahkan premis kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Justeru susulan tindakan sebelah pihak itu, Rusia mendesak Israel memberi perhatian khas untuk memastikan semua penganut Islam dan Kristian dapat mengakses laluan secara bebas ke bandar lama Baitulmaqdis tersebut.

Pendirian Rusia adalah jelas tidak berubah untuk menyaksikan hasrat Palestin dapat mencapai kemerdekaan penuh dan pada masa sama, penyelesaian keselamatan mengikut garis sempadan diperakui komuniti antarabangsa.

“Ini selaras pengumuman Moscow pada 6 April lalu yang mahu melihat Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota masa hadapan kerajaan Palestin, manakala Baitulmaqdis Barat menjadi ibu negara baharu Israel,” kata kenyataan itu.

Ekoran ketegangan di wilayah berkenaan, kerajaan Rusia sedia meneruskan bantuan kepada kedua-dua Palestin dan Israel untuk menjayakan perjanjian damai berdasarkan pelan Penyelesaian 2 Negara yang dirangka sebelum ini.

Untuk rekod, Trump ketika mengumumkan perkara kontroversi itu turut mengesahkan AS mengiktiraf usaha Palestin menjadi sebuah negara merdeka diperakui Israel mengikut pelan tersebut. – Kedahnews.com