Sakit Jantung Kini Pembunuh Utama Wanita


Selama ini mungkin dalam kalangan wanita menyangka kanser sebagai pembunuh utama golongan tersebut.

Bahkan, apabila ditanya kepada wanita di seluruh dunia, apakah penyakit yang amat digeruni, 85 peratus akan menyatakan sama ada kanser payudara mahupun serviks, hanya 15 peratus menyatakan sakit jantung.

Sebaliknya, Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Azlina Mohd. Yusof berkata, kebanyakan golongan Hawa tidak menyedari bahawa sakit jantung merupakan pembunuh utama golongan ini.

Katanya, setiap tahun, sebanyak 2.4 juta wanita di seluruh dunia dilaporkan meninggal dunia akibat sakit jantung berbanding golongan lelaki iaitu 2.1 juta setahun.

Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pula mendapati bahawa setiap empat kematian yang diakibatkan oleh penyakit-penyakit kanser, lapan kematian lagi disebabkan oleh serangan jantung.

“Berdasarkan laporan kajian yang dijalankan pada 1999 sehingga 2005 bagi perbandingan penyakit kanser (gabungan semua penyakit kanser) dan penyakit jantung yang membawa kepada kematian, data menunjukkan kematian yang diakibatkan oleh penyakit jantung peningkatannya dua kali ganda daripada jumlah kematian diakibatkan oleh kanser,” katanya.

Terdapat dua kategori risiko dalam rawatan penyakit jantung,  iaitu kategori faktor risiko yang tidak boleh diubah suai (non-modifiable) dan yang boleh diubah suai (modifiable).

Risiko serangan jantung

Menurut Dr. Nor Azlina, kategori yang tidak boleh diubah suai adalah faktor keturunan, iaitu apabila salah seorang ahli keluarga menghidap penyakit ini, ahli keluarga yang lain juga boleh turut menghidap penyakit yang sama.

Selain itu, faktor umur iaitu,  semakin seseorang itu berumur, lebih tinggilah risiko untuk menghidap penyakit jantung. 

Kategori yang kedua, iaitu risiko yang boleh diubah suai, adalah seperti mengenal pasti dan mengawal penyakit yang berkaitan tinggi dengan penyakit jantung iaitu darah tinggi, kencing manis, obesiti, kolesterol dan sebagainya. 

Malah, trend wanita muda yang suka merokok dan minum alkohol berlebihan, juga menjadi penyebab utama penyakit jantung dalam kalangan mereka pada usia yang masih muda.

 Begitu juga dengan cara hidup yang tidak aktif dan tidak melakukan senaman, stres, makan makanan berlemak, makanan segera yang menyebabkan kolesterol, serta makan pil perancang kehamilan. 

Dalam perkembangan seperti ini, Dr. Nor Azlina mencadangkan agar wanita sentiasa mengutamakan kesihatan  mereka dengan melakukan pemeriksaan sekiranya berlaku sesuatu yang dirasakan luar biasa pada tubuh dan degupan jantung mereka.

“Tambahan lagi sekiranya mereka dalam kumpulan berisiko yang mempunyai tekanan darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan mereka melakukan pemeriksaan.

“Terdapat pelbagai jenis sakit jantung, seperti injap jantung yang bocor atau ketat,  masalah kadar degupan ritma nadi jantung (arrrythmia) atau otot jantung bermasalah (cardiomyoplathy). 

“Namun, yang paling kerap orang mengalami masalah jantung ialah apabila pembuluh darah jantung tersumbat akibat kolesterol yang dinamakan sakit jantung koronari,” katanya.

Sumber: Utusan Online