Sakit Macam Nak Mati, Sarah Mohon Maaf Daripada Shuib


BEBERAPA hari lalu, penyanyi Siti Sarah Raisuddin terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital gara-gara mengalami tekanan darah rendah secara tiba-tiba.

Kejadian yang tidak disangka itu sekali gus membatalkan niatnya untuk membuat kejutan kepada suaminya, Shuib (Sepahtu) semasa hari terakhir Shuib berkhidmat di stesen radio Sinar FM hujung bulan lalu.

Namun, muncul pula cakap-cakap yang kurang enak didengar apabila segelintir pihak mendakwa penyanyi berusia 32 tahun itu dimasukkan ke hospital kerana mengamalkan rutin diet yang melampau.

Kenyataan itu disangkal sama sekali oleh pasangan tersebut malah akui Sarah, dia kini mengamalkan pemakanan sihat dan bukan tidak makan langsung atau diet yang agak keterlaluan.

“Saya makan seperti biasa, bukannya tak makan langsung. Itu bunuh diri namanya. Cuma saya memilih makanan yang lebih sihat memandangkan usia semakin meningkat.

“Tambahan pula, saya fobia untuk kelihatan gemuk seperti sebelum ini. Selepas melahirkan bayi sulung dan kedua, berat badan mencecah hingga 70 kilogram. Sedangkan sebelum itu tidak pernah pun cecah 50 kilogram.

“Jadi, saya amalkan pemakanan sihat supaya dapat menurunkan berat badan dengan kaedah yang betul,” katanya dipetik laporan sebuah akhbar tempatan.


Dalam pada itu, pelantun lagu Saat Hilang Cintamu ini berkongsikan pengalamannya ketika mengalami kesakitan yang tidak pernah dirasainya ketika itu.

Menurut Sarah, rasa sakit itu sangat menakutkan seperti rasa hendak mati dan disebabkan itu juga dia bertindak memohon maaf daripada suami tercinta.

“Jujurnya ketika itu saya rasa tak sedap hati. Tak pernah ada pengalaman pitam dan pengsan. Apabila jadi macam itu, tipulah kalau kata saya tak panik atau menggelabah.

“Bagaimanapun, saya cuba kawal perasaan, tenangkan diri. Sampai di hospital, doktor dapati tekanan darah saya rendah. Lepas beberapa jam rawatan, keadaan badan saya kembali normal dan stabil,” ujarnya.

Tambah pemegang title Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 2003 (AIM2003) ini lagi, kesihatannya terjejas kerana jadual kerja yang padat.

Justeru tidak timbul cerita konon ia berpunca akibat pengamalan diet melampau seperti yang dikatakan segelintir pihak sebelum ini. - Kedahnews.com