Saman Media, PAS Tidak Perlu Layan Gesaan Guan Eng


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil tindakan saman terhadap media yang dikatakan salah lapor kenyataan Presiden PAS itu.

Semua orang tahu, Guan Eng adalah antara pemimpin DAP yang paling kerap menyaman akhbar.

Namun kali ini Guan Eng mahu Hadi pula mengambil tindakan yang sama.

Hadi tentulah tidak mahu terperangkap dengan Guan Eng hanya kerana sedikit kekeliruan yang dipergunakan sebaik mungkin  oleh Guan Eng untuk menghentam pemimpin PAS itu.

PAS telah menafikan perkara itu dan hanya meminta akhbar berkenaan memohon maaf.

Bagaimanapun Guan Eng semacam tidak puas hati  dan mahu mengajar Hadi agar menyaman akhbar tersebut.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi itu bukan sahaja boleh menyakitkan hati orang bukan Islam dan bukan Melayu malah turut bersifat mengancam.

"Sekiranya dia (Hadi) tak berani saman media terbabit itu bermakna dia telah menyakitkan hati orang bukan Islam, orang bukan Melayu dan mengancam mereka dengan apa yang disyorkan olehnya," katanya seolah-olah 'mengugut' pemimpin PAS itu.

Abdul Hadi dalam sebuah artikel minggu lalu mencadangkan orang bukan Islam boleh memegang jawatan dalam Kabinet tetapi hanya dalam peranan sebagai teknokrat dan bukan jawatan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tiada satu ayat dan huraian pun yang dibuat Hadi dalam artikelnya menyatakan semua anggota kabinet mestilah terdiri daripada orang Melayu Muslim.

"Sebaliknya Hadi menegaskan kepentingan dan keperluan untuk orang Melayu-Islam menjadi teras dalam sistem politik dan struktur pentadbiran negara," katanya dalam kenyataan - Kedahnews.com