TAK salah pun jika kita nak meluahkan pandangan terhadap satu-satu isu kepada umum. Itu namanya hak manusia dalam berbicara, cuma tak bolehlah apa yang kita cakap tu main ikut sedap mulut semata-mata.
Kena pakai fikiran, kaji dan analisis dulu sebelum berkata apa-apa yang membabitkan orang ramai. Kena perlu berhati-hati setiap kali mengulas isu, apatah lagi yang sensitif.
Pelakon dan pengarah Dira Abu Zahar yang kini sudah pun memasuki arena politik dengan memegang jawatan sebagai Ketua Puteri UMNO Tangga Batu, Melaka ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini ada menegur sikap rakan artisnya, Fathia Latiff.
Dira menyelar tindakan pelakon itu yang dikatakan sering menyuarakan hal isu politik semasa menerusi Twitter tanpa membuat penyelidikan yang mendalam. Kata Dira: “Kenapa nak percaya dakyah-dakyah ringan yang dibawa Fathia Latif? Tak perlu! Dia bukan tahu apa pun. Kalau betul nak cerita tentang hak rakyat atau pun keluh resah rakyat, tolong turun padang macam Puteri UMNO. Setakat pegang telefon, picit-picit, tulis taip, tak payah. Dia boleh duduk diam-diam, betulkan lakonan, betulkan hidup dia dulu. Tak payah sibuk dengan hal kerajaan.”
Dan, Fathia nampaknya enggan berdiam diri. Dia turut membuat kenyataan balas terhadap apa yang berlaku di Twitter dan diikuti Dira. Dah bersambung di laman sosial pula. Itu tak masuk lagi campur tangan daripada netizen yang tak kurang hebatnya mengeluarkan pandangan masing-masing.
Memang meriah sungguh. Dalam topik yang sama, kita tak masuk campur. Baik Dira atau Fathia ada penilaian tersendiri. Pesan Mary, jangan sampai berperang hingga bergaduh bermasam muka di set drama atau filem, sudahlah. Perangai yang jenis macam ini, kena buang jauh-jauh sebab tak bagus untuk pembangunan industri. Rasanya Dira dan Fathia pun faham tentang maksud Mary ini.
Sumber: Utusan Online