KUALA NERUS – Terdesak, seorang lelaki sanggup menyamar sebagai jemaah wanita dengan mengenakan telekung dan solat Subuh bersama-sama, sebelum melarikan beg tangan seorang jemaah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu di Masjid Wakaf Tembesu, di sini, jenayah yang dilakukan suspek berkenaan telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.
Menurut penyelia masjid, Mohd Sukhri Hashim, dalam rakaman CCTV itu suspek yang memakai telekung dilihat memasuki ruang solat wanita dan berpura-pura solat di saf belakang.
“Bagaimanapun, sebaik jemaah wanita sujud selepas selesai bacaan doa Qunut, suspek berkenaan dengan pantas mencapai beg tangan jemaah wanita di saf di hadapannya.
“Suspek yang dipercayai warga tempatan itu kemudian terus melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Myvi bersama seorang lagi rakannya yang menunggu di luar kawasan masjid,” katanya kepada Berita Harian.
Kata Sukhri lagi, ini merupakan kali ketiga insiden seumpama itu berlaku di masjid tersebut.
Kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan anggaran RM1,000 termasuk sebuah telefon bimbit dan wang tunai. Bagaimanapun, mangsa tidak membuat aduan polis.- Kedahnews.com