Sasterawan Negara Berwasiat Dikebumikan Di Mana Tempat Dirinya Meninggal Dunia


ALOR SETAR - Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad, 84, telah mewasiatkan kepada anak-anaknya untuk dikebumikan di mana tempat beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Menurut anak bongsunya, Asrulsani, 54, berkata walaupun arwah masih mempunyai ramai waris di kampung halamannya di Sik, Kedah, namun pesanan itu dituruti dengan persetujuan ahli keluarga.

"Selepas empat hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Kajang (KPJ) kerana paru-paru berair, bapa kembali sihat dan dipindahkan ke wad biasa, Ahad lalu.

"Selepas dipindahkan ke wad biasa, beliau cukup berselera makan dan hanya sempat meninggalkan satu pesanan, jika meninggal dunia, jenazahnya mahu dikebumikan di mana beliau meninggal dunia," katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang di sini, semalam.

Tambah Asrulsani, beliau belum bersedia untuk berkongsi wasiat yang diamanahkan bapanya sebelum ini berkaitan semua karya sasteranya.

"Memang ada wasiatnya mengenai karyanya. Saya belum bersedia untuk berkongsi amanah yang diwasiatkan bapa tetapi suatu masa nanti jika berpeluang saya akan mengeluarkan kenyataan berkaitan semua karya beliau," katanya yang mengetuai sebagai imam solat jenazah di Surau Madani, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

Shahnon meninggal akibat radang paru-paru di KPJ, Kajang jam 8 pagi, semalam dan arwah meninggalkan seorang balu, Datin Wan Fatimah Wan Salleh, 82 serta dikurniakan empat zuriat iaitu Norhayati, Suhaimi (meninggal dunia pada usia 50 tahun), Sanusi dan Asrulsani.

Sementara itu, Pensyarah di Pusat Pengajian, Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Prof Dr Suhaimi Abdul Aziz, berkata kemungkinan ada sebab Shahnon meninggalkan wasiat tidak mahu dikebumikan di kampung halamannya, tempat titik tolaknya arwah bermula sebagai penulis suatu masa lalu.

"Di dalam karya awalnya, beliau banyak memasukkan nama kampung kelahirannya di Banggol Derdap, Sik, Kedah. Beliau menulis dengan gaya yang cukup realistik sehingga nama Banggol Derdap itu menjadi sinonim dengan Shahnon Ahmad.

"Saya tertanya-tanya mengapa beliau tidak mahu dikebumikan di mana tempat bermulanya dirinya sebagai seorang penulis.

Walau bagaimanapun, itu wasiat yang perlu dihormati dan mengikut Islam juga adalah baik jenazah umat Islam untuk dipercepatkan urusan pengebumian," katanya yang dipetik BH Online.

Sementara itu, bagi SN Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau nama penanya Kemala berkata, arwah yang dikenalinya sejak 1960-an adalah seorang yang peramah, namun berfikiran kritikal.

"Saya mengenali arwah sekitar 1960 an ketika, beliau menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengajar saya yang mengambil jurusan ilmu kemanusiaan.

"Arwah seorang yang sangat ramah dengan sahabat, malah sehinggkan pada satu ketika, saya pernah dipelawa bermalam di rumahnya di Sik, Kedah.

"Bagaimanapun, di sebalik keramahannya itu, Shahnon seorang yang tegas dan kritikal dengan pendiriannya," ujarnya.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Mohd Hanafi Ibrahim, berkata arwah cukup dikenali sebagai guru yang cukup menghormati orang di sekelilingnya, khususnya penulis baharu.

"Beliau seorang yang sangat mesra dan tidak pernah membeza-bezakan penulis lama dan baharu. Kami di DBP hampir menyiapkan biografi beliau yang dijangka dapat diterbitkan pada awal tahun depan.

"Namun beliau sempat melihat dan membaca sebahagian biografi yang sudah disiapkan sejak tahun lalu lagi.

"Beliau kurang senang namanya diangkat terlalu tinggi dalam biografi itu. Beliau cukup merendah diri," katanya. -Kedahnews.com