''Saya Tak Tahu Kenapa Iqram Dinzly Jadi Begitu''


SAHABAT Iqram Dinzly, Yusuf Azmi mengakui tidak tahu punca yang membawa kepada perubahan perlakuan temannya.

Yusuf  ketika dihubungi Sinar Online berkata, dia dapat melihat perubahan berlaku ke atas Iqram sejak kematian bapanya, Muhammad Saipuddin Ahmad Said .

"Mungkin dia tertekan dengan kematian bapanya, mungkin juga dia mempunyai sedikit masalah peribadi, yang menyebabkan dia jadi begitu.

"Memang saya sendiri tak tahu mengapa dia jadi begitu," katanya.

Iqram berjaya mencuri perhatian netizen dan peminat apabila dilihat sering tampil beraksi pelik menerusi siaran langsung Instagramnya.

Pelakon Janji Diana ini juga mengejutkan dunia hiburan apabila dilihat tampil dengan tarian berahi dan aksi lucah menerusi Insta 'live'nya, baru-baru ini.

Yusuf dalam masa sama turut mengaku tidak sanggup menonton keseluruhan video 'live' Iqram.

"Saya ada tonton video tarian Iqram, tapi (tonton) tak habis, saya tak lalu nak tengok sampai tamat.

"Mungkin dia buat begitu untuk menarik balik pengikutnya di laman sosial," katanya lagi.

Iqram juga dilihat semakin kurus selain fesyen berserbannya yang mencetuskan tanda tanya.

Bapa Iqram Dinzly meninggal dunia 10 Oktober lalu kerana penyakit diabetes dan darah tinggi serta diserang angin ahmar.

Kini Iqram tinggal bersama ibunya di Ipoh Perak.

Yusuf dalam masa sama turut menasihatkan Iqram untuk memohon maaf sekiranya perilakunya menyinggung mana-mana pihak.

"Sebagai sahabat, saya nasihatkan Iqram untuk minta maaf sekiranya apa yang dilakukan dibuat dalam keadaan tertekan atau ditujukan kepada seseorang (dalam bentuk protes).

"Dari sudut akhlak, memang salah, jika apa yang dilakukan dibuat untuk tujuan kontroversi, itu tak boleh," katanya lagi.

Sumber: Sinar Online