Saya Tiada Hubungan Dengan Sajat, Aliff Syukri Jawab Tuduhan Liar


USAHAWAN kosmetik yang kini bergelar penyanyi, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan tuduhan liar yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan dengan pengasas produk Let’s Cantik, Nur Sajat.

Semuanya kerana isteri Aliff, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid tidak mengikuti rombongan Aliff ke Sepanyol.

“Tuduhan yang mendakwa saya ada hubungan dengan Sajat adalah satu perkara yang tidak berasas. Ada khabar nakal yang mendakwa saya sengaja tak mahu membawa Shahida ke Sepanyol.

“Isteri saya tidak mengikuti rombongan kami ke sana kerana dia sedang hamil tiga bulan. Dia tidak selesa untuk menaiki penerbangan selama 20 jam dan risau akan kesihatan dirinya,” kata Aliff yang ditemui di majlis pelancaran single Abang Nak Tegur pada Selasa.

Aliff terbang ke Sepanyol bersama Sajat, pembantu peribadi masing-masing serta krew produksi lain seperti Edry Abdul Halim dan Lisa Surihani untuk merakamkan muzik video lagu terbaru Aliff dan Sajat yang berjudul Abang Nak Tegur.

Semenjak dilancarkan pada hujung bulan lalu, video lirik lagu tersebut yang dimuat naik di laman YouTube mendapat jumlah ‘dislike’ hampir 330,000 pengguna.

Biarpun dikritik, video lirik itu berjaya mendapat lebih 3.7 juta tontonan.

“Pada awalnya saya risau dan rasa sedikit tertekan, tetapi saya biarkan sahaja perasaan itu dan tidak mahu memikirkan mengenai tekanan.

“Ramai ‘dislike’ tetapi tontonan masih banyak. Pihak KRU juga melancarkan Abang Nak Tegur 2.0 yang menampilkan suara nyanyian isteri saya.

“Alhamdulillah, selepas enam hari dimuat naik, lagu itu mendapat lebih 2.7 juta tontonan di laman YouTube. Ia satu perkembangan positif,” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani