Saya Trauma: Cikgu Azizan


“SAYA akui trauma sepanjang beberapa bulan ini. Hanya ALLAH yang tahu.

“Niat saya baik untuk mendidik anak-anak murid,  tidak sangka jadi macam ini,” demikian luahan Cikgu Azizan Manap.

Ia bagaikan mimpi ngeri kepada Cikgu Azizan apabila niat baiknya untuk mendidik anak bangsa menjadi titik hitam dalam sejarah hidupnya.

Sorot yang berpeluang menemu bual Cikgu Azizan untuk menyelami perasaannya menjelaskan secara peribadi beliau memohon maaf kepada seluruh masyarakat terutama keluarga murid terbabit.

“Saya bertindak atas kapasiti sebagai guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan Disiplin. Secara peribadi minta maaf kepada semua orang, termasuk keluarga murid tersebut.

“Saya maafkan anak mereka. Semoga dia berjaya dunia dan akhirat. Niat saya baik untuk mendidik anak-anak murid,” ujarnya.

Namun bapa kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan, kes itu ternyata tamparan hebat buat dirinya.

“Memang pengajaran yang sangat besar bagi saya. Saya akui trauma selama beberapa bulan ini. Hanya kepada ALLAH saya serahkan untung nasib.

“Ia melibatkan perjawatan dalam pekerjaan dan juga periuk nasi saya. Saya anak sulung, ibu sudah tua, ayah saya pula lumpuh. Semua tanggung jawab keluarga di bahu saya,” luahnya.

Azizan berikrar lebih berhati-hati dalam setiap tindakannya pada masa depan.

“Saya sedaya upaya untuk tidak bertindak sedemikian lagi. Niat saya baik tapi tidak sangka jadi perkara yang tidak diingini seperti ini.

“Jika selepas ini timbul lagi spekulasi mengenai perkara seumpama ini, saya serah segalanya kepada ALLAH,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azizan turut menasihatkan guru lain agar lebih berwaspada dalam setiap tindakan terhadap pelajar agar tidak ditimpa nasib yang sama sepertinya.

Sumber: Sinar Online