PETALING JAYA - Nama Nur Syahindah Mohamad Kamal pernah menjadi bualan ramai beberapa bulan lalu apabila gambarnya bermain bola sepak dengan mengenakan pakaian sukan muslimah menjadi tular di media sosial.
Bukan sahaja aktif dengan sukan yang didominasi kaum Adam itu, gadis berusia 20 tahun yang lebih mesra disapa Indah cukup bertuah apabila dikurniakan raut wajah jelita.
Pakej lengkap yang ada pada Indah menyebabkan dia turut dirisik beberapa pengeluar jenama tudung dan syarikat barangan sukan untuk dijadikan sebagai duta produk mereka selepas penampilannya telah menarik perhatian ramai pada Julai lalu.
Namun tawaran yang diimpikan kebanyakan gadis diluar sana terpaksa ditolak kerana minatnya terhadap bola sepak.
Malah Indah tidak sedikit pun kesal dengan keputusan yang dibuat kerana dia sebenarnya menanam impian lebih besar daripada bergelar model.
Gadis kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini ketika ditemubual mStar Online mendedahkan dia akan menghasilkan produk kecantikan jenama sendiri pada awal tahun depan.
Jelas Indah, sebagai permulaannya, dia akan memperkenalkan produk sulungnya, Azma Foundation (krim asas) untuk pasaran dalam negara.
"Produk yang dinamakan sempena ibu saya masih dalam proses pengilangan. InsyaAllah ia akan mula dipasarkan awal tahun depan. Saya enggan terburu-buru biarlah bermula dengan satu produk dahulu.
"Selepas mendapat maklum balas yang positif baharulah saya fikirkan produk seterusnya. Bukan senang nak dikenali ramai tapi saya akan cuba hasilkan produk terbaik untuk bakal pelanggan saya," katanya.
Menurut Indah, bisnes tersebut akan dikendalikan bersama tiga adik-beradiknya, Muhammad Nasruddin, Nur Faqihah dan Nur Syakirah, selain dibantu ibu mereka, Norazma Ahmad.
"Ia boleh dikatakan bisnes keluarga. Darah bisnes sudah sebati dalam diri saya kerana ibu saya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini.
"Lagipun saya pernah menyertai kursus solekan dan terapi kecantikan di Pusat Giatmara sebelum ini. Rugi pula kalau tak serlahkan bakat terpendam ini dalam bidang kecantikan," katanya.
Memandangkan dia juga baharu sahaja tamat pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu, Kelantan, Indah berkata, sudah tiba masanya dia mempraktikkan ilmu tersebut untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
"Saya memang ambil kursus tersebut kerana mahu mengikut jejak ibu. Saya harap produk yang bakal dikeluarkan nanti mendapat tempat di hati golongan wanita," katanya.
Pada masa sama, Indah turut bersyukur kerana pengikutnya di Instagram meningkat dari semasa ke semasa selepas gambarnya menjadi viral di media sosial.
"Saya pun tak sangka jumlah pengikut saya kini mencecah 45,000. Kuasa viral ini sebenarnya sedikit sebanyak memberi manfaat di mana saya boleh memberi motivasi kepada gadis-gadis di luar sana.
"Malah ia juga akan membantu urusan perniagaan produk kecantikan saya nanti. Dari situ saya boleh berinteraksi dengan peminat yang juga bakal pelanggan saya," katanya.
Ditanya sama ada dia akan meninggalkan bola sepak selepas bergelar usahawan, Indah berkata dia tetap akan fokus dalam sukan lasak itu.
"Bola sepak tetap di hati saya... sayang nak tinggalkan. Lagipun saya mula dikenali kerana sukan ini," katanya yang akan menjadi duta bagi produk Azma Foundation.
Sumber: Mstar Online