Semakin Ramai Hidap Retinopati Diabetes


KUALA LUMPUR – Retinopati Diabetes adalah komplikasi yang memberi kesan kepada penglihatan pesakit diabetes atau kencing manis.

Jika sebelum ini pesakitnya berusia lebih 50 tahun tetapi sejak 10 tahun lepas semakin ramai dari kalangan umur 30 hingga 35 tahun didiagnos komplikasi berkenaan.

Dr Hazlita Mohd Isa, Pakar Perubatan Retina dan Oftalmologi bimbang dengan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat di negara ini mengenai penyakit itu.

“Tak ramai yang tahu tentang perkara ini. Malahan ramai yang menghidap diabetes juga tidak sedar kemungkinan mata mereka mengalami komplikasi ini. Sering mereka berjumpa doktor apabila mata mereka sudah teruk.

“Malang juga kebelakangan ini kebanyakan mereka yang didiagnos dengan retinopati diabetes terdiri daripada golongan muda. Ramai juga berdepan dengan kemungkinan menjadi buta sekiranya tidak ada penjagaan yang baik, “kata beliau dalam wawancara eksklusif dengan Bernama.

Menurut Hazlita yang berkhidmat dengan sebuah pusat pakar, pesakit yang menghidap Retinopati Diabetes masih mungkin mempunyai daya penglihatan yang baik sekiranya ‘macula’ atau ‘saraf optik’ mereka tidak terjejas walaupun untuk kes Retinopati Diabetes Proliferatif.

PUNCA RETINOPATI DIABETES

“Ada pesakit yang menghidap Retinopati Diabetik dan mereka pun tak tahu langsung. Oleh yang demikian, pemeriksaan rutin oftalmologi adalah penting untuk mengesan penyakit ini, “jelas Dr Hazlita yang pakar dalam bidang Retinopati Diabetes.

Retinopati Diabetes berlaku apabila paras tinggi gula dalam darah yang kronik menyebabkan kerosakan kepada pembuluh darah dan sel dalam mata yang menjejaskan bekalan oksigen serta nutrien kepada tisu mata. Ini merosakkan mata.

“Retinopati Diabetes adalah komplikasi okular diabetes melitus. Retina adalah lapisan saraf yang menggarisi mata dan menerima rangsangan untuk kita melihat. Ini adalah bahagian utama mata yang terjejas akibat diabetes mellitus,” katanya.

Beliau menjelaskan seterusnya bahawa punca utama penglihatan yang lemah dalam Retinopati Diabetes ialah ‘diabetic macular edema’ (DME) yang mana berlaku kebocoran cecair pembuluh darah dan tisu yang membengkak (edema) pada ‘macula’.

“Macula adalah bahagian retina yang bertanggungjawab untuk penglihatan jelas dan pencerapan warna. DME boleh berlaku pada sebarang peringkat Retinopati Diabetes, “tambah Dr Hazlita.

PERLU LEBIH PEKA

Sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, Dr Hazlita menggesa supaya diadakan lebih banyak ceramah terutama untuk mereka yang menghidap diabetes tentang betapa seriusnya keadaan itu.

Beliau menggesa pesakit diabetes membuat pemeriksaan mata secara tetap, sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Kami mempunyai kepakaran, datang jumpa kami, ” katanya.

Ditanya bagaimana untuk mengelakkan daripada mendapat Retinopati Diabetes, Dr Hazlita mencadangkan pesakit terutamanya yang menghidap Diabetes Jenis 2 memeriksa mata mereka sebaik sahaja mereka didiagnos dengan penyakit itu.

Menurut beliau lagi, kebanyakan hospital kerajaan mempunyai program pemeriksaan untuk mengesan serta memantau seseorang yang mempunyai Retinopati Diabetes.

Penting juga untuk diketahui bahawa kehamilan boleh menyebabkan Retinopati Diabetes dan penyakit itu boleh CEPAT menjadi teruk bagi ibu yang mengandung.

Oleh yang demikian, wanita yang menghidap diabetes dan merancang untuk hamil serta mereka yang mendapat diabetes ketika hamil perlu memastikan doktor memantau keadaan mata sepanjang tempoh mengandung, katanya.

Mengenai rawatan, beliau berkata pada masa ini ada dua bentuk rawatan, untuk retinopati diabetes proliferatif, iaitu menerusi rawatan laser dan untuk ‘macular edema’ ialah menerusi suntikan langsung ubat anti-VEGF (vascular endothelial growth factor) atau ubat anti-radang.

Retinopati Diabetes yang teruk memerlukan pembedahan okular.

Penyakit Retinopati Diabetes tidak boleh dipandang ringan memandangkan anggaran 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes. – BERNAMA